Anaknya doktor. 7 tahun tak balik kampung. Puas si ibu menahan rindu, hinggalah ke akhir hayatnya

Foto sekadar hiasan. Perkongsian dibawah adalah berkisahkan seorang anak yang bekerja sebagai doktor akhirnya menyesal dan terkilan. Kerjaya lebih diutamakan oleh si anak hinggakan tiada masa untuk pulang ke kampung untuk melawat ibunya.

Puas menahan rindu, si ibu berulangkali menelefon si anak yang kebanyakkan masanya berada di hospital. Ramai pesakit yang sedang menanti membuatkan si anak tidak dapat berbual panjang di talian. Hinggalah pada hari itu, baru dia tersedar. Namun ianya sudah terlewat.

Ikuti kisah memilukan hati ini di bawah.

Mengalir air matanya saban kali teringat pada aruwah si ibu. Perit rasanya di hati. Pedih sekali. Bagai tidak mampu tertahan. Rasa sesal itu tiada gunanya lagi. Dia memandang jauh ke luar jendela. Melihat burung-burung yang tinggi terbang di langit biru. Hatinya hiba.

Ibu, ibu.. Seronokkan jadi burung. Tengok tu bu. Dia terbang tinggi. Kalau kakak jadi burung, kakak pun boleh terbang bu. Bu, kenapa manusia tak boleh terbang?

Ibu tersenyum sambil mengusap kepala anak sulungnya itu.

Kakak, memang kita tak boleh terbang macam burung. Tapi kakak tau tak, Allah jadikan manusia sebagai makhluk yang sangat sempurna. Kerna kita punya akal yang tak ada pada makhluk lain.

Akal itu akan memandu kita dalam membuat keputusan. Sebab Allah kurniakan kita akal fikiranlah kita yang terpilih mentadbir bumi ini. Berat kan tanggungjawab tu. Kakak kenalaa banyak berdoa dan berusaha agar akal yang Allah kurniakan pada kakak tu kakak gunakan sebaiknya di jalan ilahi.

Betul bu, kakak nak belajar rajin-rajin. Kerja bagus. Nanti boleh jaga ibu. Ustazah kata, bila ibu bapa kita dah tua, kita kena jaga mereka. Baru boleh jadi anak yang soleh.

“Kakak, kakak memang anak yang baik.”

Kenangan-kenangan itu benar-benar menghancurkan hatinya. Janji kosong yang tidak pernah ditunaikan.

“Kakak bukan tak nak balik bu. Ibu tolonglah faham. Kakak ni sibuk. Kakak sekarang dah jadi specialist dekat spital tu. Dulu ibu jugak yang nak sangat akak jadi doktor. Ibu tau jelaa keja doktor macam mana.”

Gagang telefon dihempas. Suara tua dengan batuk-batuk kecil itu tidak dapat mencuit hatinya untuk pulang. Kerja-kerja yang masih bertimbun membuatnya tidak dapat fokus terhadap perkara lain.

Keesokan paginya, dia bersiap untuk memulakan Ward Round. Sebanyak 28 katil pesakit perlu dilawati. Progress pesakit perlu dipantau supaya mereka dapat pulang dengan sihat.

Tiba di katil ke 18, kelihatan seorang pak cik terduduk kaku di atas kerusi. Kedua-dua kakinya sudah tiada kerana luka kencing manis.

Di sisinya, seorang lelaki berusia 30an sedang mengurut tangan kanannya. Dia lantas bertanya pada lelaki tersebut kenapa pak cik itu datang ke hospital. Sedang lelaki itu menceritakan perihal ayahnya, terdengar suara lelaki tua itu meminta air.

Ayah nak air ye? Sekejap ye. Dia bangun lantas mencapai air zam-zam di atas meja lalu disuap pada ayahnya. Kelihatan ayahnya tidak dapat menyedut dengan baik.

Lelaki itu kemudian mengambil sudu lalu digunakan untuk menyuap air ke mulut ayahnya. Air yang tumpah di tepi bibir disapu dengan tangannya.

Dah ayah? Pak cik tua itu mengangguk.

‘Angah, sapukan sikit air tu dekat mata ayah’

Lelaki itu kemudiannya mencapai botol spray dari dalam beg lantas menyembur cecair itu ke mata ayahnya. Dia kemudiannya menyembur air itu ke sebahagian kepala ayahnya. Tuala di sisi kerusi tempat ayahnya duduk diambil lalu dilap kepala ayahnya dengan penuh rasa kasih sayang.

‘Segar sikit ayah?’

Sekadar anggukan dari wajah tua yang sudah tidak terdaya melakukan apa-apa itu.

Lelaki itu membuatnya tersentak. Jauh di sudut hatinya dia merasa sangat sayu. Hiba. Wajah tua ibunya kelihatan bermain-main di mata. Di manakah dia di saat ibunya mengharap kehadirannya di sisi. Siapakah yang membantu di saat ibunya terlantar tidak mampu berbuat apa-apa.

Doctor, doc.. When can we discharge this patient? tanya house officer di sisinya. Lamunannya terhenti.

‘Doktor, kalau boleh saya nak bawak ayah balik sebelum raya ni. Sedih saya tengok ayah terlantar dekat sini.

Kalau beraya dekat rumah dapat kami sekeluarga berkumpul bersama, gembira sikit dia nanti dapat tengok anak cucu. Dalam keadaan macam ni, saya tau tak banyak harapan untuk ayah, jadi biarlah kami berusaha membahagiakan ayah di saat-saat akhirnya. Kami banyak terhutang budi pada ayah.’

Kata-kata lelaki itu umpama panahan yang menyucuk hatinya. Pedih sekali rasanya. Air jernih mengalir di pipnya. Dia mengalihkan wajahnya dari gerombolan manusia di sisinya lantas menyapu pipi. Dengan muka yang berpura-pura tenang dia membenarkan Pak Cik Razak dibawa pulang oleh anaknya yang soleh itu.

Dia berjalan menuruni tangga untuk ke pejabat pakar yang terletak di Lower Ground. Dia melalui Taman Herba. Angin yang bertiup petang itu membuatnya rasa tenang sekali.

Dia sudah bertekad. Dia harus pulang. Berbakti pada ibunya selagi ibunya masih ada. Dia mahu sujud di kaki ibunya memohon seribu kemaafan. Mengotakan segala janji-janjinya. Suara ibunya yang rajin memberikan nasihat terngiang-ngiang ditelinga;

‘Kakak, kakak belajar rajin-rajin ye. Ibu selalu doakan akak cemerlang dunia akhirat. Tapi akak ingat tinggi mana pun pencapaian kita, jangan kita sombong meninggi diri, sebab ada yang lebih tinggi dari kita, ada yang lebih hebat dari kita, iaitu al-Khaliq pencipta semesta’.

Gagang telefon diangkat. Nombor segera didail. Lama sekali dia menunggu, tiada berangkat. Kemana ibu ya? Dicuba mendail sekali lagi. Masih tiada jawapan. Hatinya bergetar. Kunci kereta dicapai. Dia keluar dari pejabatnya.

Lisa, cancelkan semua appointment saya untuk beberapa hari ni. I’ll be away from office.

Kereta BMW 10 series itu dipandu pada kelajuan maksima.

Dalam masa 2 jam dia sudah sampai ke Ipoh, tempat tumpah drahnya. Sudah hampir 7 tahun dia tidak pulang. Rasa rindu mencengkam jiwanya. Banyak memori indah dia di tempat ini.

Ketika sampai di laman rumahnya, kelihatan ramai orang kampung berkumpul di situ. Hatinya berkocak. Dalam hati dia berdoa janganlah berlaku apa-apa pada ibunya.

Ketika memanjat anak tangga, kedengaran esak tangis dan surah yassin dibacakan. Dilihatnya sekujur tubuh siap dikafankan terbaring di satu sudut. Kenal benar dia pada wajah tua itu. Itu adalah ibunya.

Saat itu, jantungnya ibarat terhenti. Hatinya berkecamuk. Jiwanya meronta. Ibu, bangunlah. Tataplah wajah anakmu ini. Air mata tidak henti-henti mengalir di pipi. Dia duduk di sisi jasad ibunya. Wajah tua itu kelihatan tenang sekali. Mungkin baginya penderitaan menanti kepulangan anaknya sudah berakhir.

Wanita sebaya ibunya datang mengusap kepalanya. ‘Sabarlah nak. Biarlah dia pergi dengan tenang. Mak Long banyak kali cuba menalipon kamu tapi tak dapat. Ibu kamu ada tinggalkan surat pada Mak Long. Katanya simpan dan bagi pada kamu kalau-kalau kamu balik nanti. Nanti Mak Long ambilkan’.

Setelah selesai urusan pengkebumian, dia duduk di tangga, tempat dia dan ibunya selalu berbual-bual saban petang. Surat ibunya dibuka dan dibaca;

Kehadapan anakanda yang paling ibu kasihi,

Kakak, mungkin saat ini ibu sudah tiada. Tidak dapat lagi ibu menatap wajah kakak, mengusap kepala kakak. Sudah lama rasanya kita tidak bersuakan kakak. Hanya Allah saja tahu betapa rindunya ibu pada kakak. Saban hari ibu berdoa pada Allah agar pertemukan kita.

Kakak sajalah yang ibu ada di dunia ni. Kakak sajalah tempat ibu nak menumpang kasih. Bila ayah dan adik pergi dalam kemalangan lama dulu, ibu selalu bersyukur pada Allah kerana masih tinggalkan kakak pada ibu. Ada juga tempat ibu bermanja.

Maafkanlah ibu andai selalu saja mengganggu kerja kakak dengan panggilan-panggilan ibu. Ketahuilah saat itu, ibu amat rindu sekali pada kakak. Walau dapat dengar suara kakak pun ibu rasa cukup bahagia.

Kakak, tujuan ibu menitipkan surat ini pada kakak tiada lain hanyalah sebab ibu nak kakak tahu yang ibu teramat bangga dengan kakak. Ibu tahu kakak kerja keras untuk jadi doktor, seperti yang ibu mahukan.

Ibu tak pernah kecil hati pun kakak tak dapat nak balik tengok ibu. Ibu faham kakak sibuk sangat. Ibu mohon maaf tak dapat lagi nak bersama kakak. Nak doakan untuk kakak. Kakak jagalah diri baik-baik. Ibu ampunkan segala kesalahan kakak.

Wassalam.

Dari ibu yang amat menyayangimu.

Air mata tak henti-henti mengalir di pipi. Dia tidak sanggup berhadapan dengan keadaan itu. Perit sekali rasanya. Dia rasa sangat terkilan. Ketenangan petang itu membuatkan hatinya sayu. Tiada kata yang mampu diungkap.

Hatinya ingin sekali meraung menjerit memanggil ibu. Mendakap ibu dengan erat. Memegang tangan ibu dan tidak lagi dilepaskan. Menjaga ibu dengan penuh kasih sayang. Berbakti pada ibu.

Tapi itu hanya sekadar angan-angan. Dia sendiri sedar perkara itu tidak mungkin berlaku. Benarlah dia telah termasuk dalam golongan orang-orang yang celaka seperti sabda rasulullah;

‘Celakalah siapa yang mempunya ibu bapa namun tidak menjaga mereka..’

Mungkin perkongsian kisah ini, agak klise. Yang seringkali kita dengar. Anak yang tak kenang jasa ibu bapa. Pasti membosankan kerana sudah boleh agak apa ending nya. Tapi cubalah membaca sekali lagi. Bacalah dengan penuh penghayatan. Membayangkan keadaan itu terjadi kepada kita sendiri.

Mungkin sekarang kita mampu berkata ‘aku takkan jadi macam watak anak derhaka tu. aku mestilah akan jaga mak aku’.

Namun, hanya Tuhan saja yang tahu apa yang bakal berlaku di depan. Sebab tulah kita kena banyak berdoa supaya jadi anak yang soleh, berjasa kepada kedua orang tua. Takutkan kalau termasuk dalam golongan yang celaka seperti yang disabdakan oleh ar-rasul.

Mari bermuhasabah. Mungkin sekarang kita masih belum diuji, mak ayah kita masih sihat, boleh bejalan, bergerak ke sana ke mari. Tapi bila mereka sudah tak terdaya kelak, hanya yang mengasihi kedua orang tuanya dengan penuh keikhlasan akan terus di sisi mereka. Yang lain hanya menjenguk sekali dua.

Semoga kita termasuk dalam golongan anak-anak yang soleh.

Aminn ya rabbal a’lamin.

– Anak (Bukan nama sebenar) via iiumc

Apa pula kata anda.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *