Basit hilang. Puas dicari tidak jumpa. Malam itu, kami tidur tanpa kepulangan Basit ke rumah

Sambungan dari part 2:

“Baju putih awak cantik sangat. Cincin ni, saya tinggalkan di sini, di tepi awak. Awak bawa lah bersama. Abang kan dah janji nak jaga awak, tapi kenapa awak tinggalkan abang? Macam mana abang nak hidup tanpa awak?”

“Wajah awak, nampak sedih hari ni. Sebab tu ke? Sebab awak nak pergi jauh ya? Abang minta maaf, sebab terpaksa ‘hantar’ awak seorang sahaja. Abang minta maaf sebab abang sahaja yang tertinggal di sini. Abang akan sentiasa rindukan sayang.”

“Tolong lah bahagia di sana. Tunggu abang di sana, sehingga satu hari yang lain, kita akan berjumpa.”

1130 malam, Madiha selamat dikebumikan

Itu lah lebih kurang ayat yang Basit sebutkan semasa kami sibuk kafan kan Madiha. Cincin kahwin Madiha, Basit balut dalam kain batik yang digunting kecil. Kemudian, dia selitkan di ikatan kafan Madiha. Sebelum kami bawa keluar Madiha, Basit cium lama jnazah Madiha sebagai tanda penghormatan terakhir kepada isterinya. Suasana sayu di rumah itu.

Selepas solat jnazah, ayah Madiha jadi imam. Keadaan bertambah sayu bila ayah Madiha sebak dalam solat. Jemaah juga seakan-akan menghayati situasi itu. Tapi, keadaan semakin ke tengah malam, kami segerakan untuk kebumikan Madiha. Lebih kurang jam 11.30 malam, Madiha selamat dikebumikan. Doa dan talkin dibacakan oleh Basit. Selesai sahaja urusan, kami semua pulang.

Basit hilang selepas pengebumian

Saya terakhir nampak wajah Basit di tanah perkuburan. Selepas itu saya tidak tahu Basit ke mana. Puas saya dan suami mencari Basit, tidak berjumpa. Saya tahu, Basit sedang bermain dengan emosi. Dia marah dan tidak puas hati, mengapa isterinya diambil Tuhan. Malam itu, kami tidur tanpa kepulangan Basit ke rumah.

Esoknya, saya bangun lewat. Selepas Subuh, saya sambung tidur. Dan bangun semula pukul 9 pagi. Saya bagun terus ke dapur, saya nampak Basit duduk termenung depan TV seorang diri. Entah masa bila dia balik, kami tidak tahu. Saya dan suami tengah menjamah sarapan, suami saya tak habis-habis mencuit saya minta sapa Basit. Saya biarkan sahaja, sebab masih marah Basit tidak datang ke bilik Madiha sewaktu Madiha tenat.

Masa itu juga hati saya terusik, saya terfikir, anak saya dalam keadaan yang sedang diuji dengan hebat sekali. Patutkah saya juga bermain emosi dengannya? Berbaloi kah saya marahkan Basit kerana tidak menjawab telefon ketika itu? Sedangkan dia lagi sedih daripada saya ketika ini? Lepas makan, saya seorang diri menghampiri Basit.

Saya pandang Basit dari belakang. Saya lihat Basit, saya terimbau zaman kanak-kanaknya. Yang manja dan kuat bermain. Seingkali balik ke rumah menangis sebab dibuli kawan-kawan.

Saya menjadi sebak dan sayu, tidak menyangka, anak yang saya besarkan sepenuh hati. Yang saya didik sehingga berjaya dalam hidup sedang dipilih Allah untuk diuji.

Antara menerima atau mempersoalkan takdir

Saya duduk di sebelahnya, saya peluk erat Basit. Saya katakan kepada dia, apa yang Basit nak cakap kepada mak, Basit cakap. Mak akan dengar semuanya. Basit menangis, sehingga kini saya masih boleh ingat dan rasa hangat air mata Basit terkena bahu saya.

Dia betul-betul marah, mempersoal dan pertikai takdir Allah kerana mengambil Madiha sedangkan dia sudah menjaga Madiha sebaik mungkin. Saya diamkan sahaja, mahu dia meluahkan segalanya.

Selepas dia luahkan semuanya, saya minta dia bersabar dan doa banyak-banyak kepada Tuhan. Terus Basit jawab kepada saya, “Mak, Basit tengah marahkan Dia. Takkan Basit nak minta dia yang kuatkan Basit?”

Subhanallah, terkejut saya masa tu. Saya tahu, waktu itu dia betul-betul tengah berperang dengan dirinya. Antara terus mempersoalkan ketentuan Tuhan atau menerima takdir Tuhan. Saya jadi buntu, macam mana mahu pujuk jiwa dan raga anak saya.

Sampailah ilham mencuit hati saya. Saya katakan kepada Basit, bagaimana Madiha mahu menceritakan kehebatan ayah kepada anak-anak kembarmya, jika Basit sebagai ayah masih lagi tidak kuat dengan takdir itu. Mana mungkin anak-anak Basit nak percaya kata-kata Madiha.

Basit kembali bersemangat

Basit terus diam. Saya terus bagun dan bersiap untuk beli barang nak buat tahlil malam itu. Tak lama lepas tu, saya nampak Basit duduk makan di meja sambil berbual dengan ipar duainya di dapur. Adik-adik Madiha memang rapat dengan Basit kerana Basit pandai mengabil hati mereka.

Malam itu, Basit nampak bersemangat sekali. Tidak seperti semalam dan pagi itu. Malam itu juga dia ketuai musyawarah kami, uruskan harta peninggalan Madiha.

Sepanjang perkahwinan Madiha, duit yang dikumpul selama dia bekerja dan duit nafkah yang diberikan oleh Basit, dia simpan di dalam Tabung Haji. Semua duit itu diberikan kepada keluarga Madiha seperti yang saya kongsikan dalam perkongsian sebelum ini.

Malam itu juga, Basit nampak begitu yakin semasa memberitahu ibu dan ayah Madiha supaya mempercayai dirinya untuk menjaga keluarga itu walaupun Madiha sudah tiada. Basit juga nampak sangat bersemangat menguruskan pakaian-pakaian Madiha di dalam bilik tidur mereka di rumah itu, saya perhatikan sahaja dari jauh dan senyap-senyap.

Walaupun Basit tak berpeluang jadi ayah yang sebenar kepada anak-anak kembarnya, ternyata kata-kata saya pagi itu memberi kesan kepada Basit. Mungkin jauh di dalam sudut hati anak lelaki saya, dia merindukan anak-anak kembarnya dan berbangga dengan dirinya kerana dapat menjaga Madiha. Dia yakin, pastinya Madiha menceritakan kisah itu kepada anak-anak mereka.

Perjanjian Basit dan Madiha

Sudah 7 tahun pemergian Madiha, saya tak pernah sekali pun ungkit sekali pun tentang kejadian Basit tidak angkat telefon semasa membeli air coke untuk Madiha. Saya tidak mahu mengguris hatinya.

Tapi baru-baru ini, selepas suruh Basit baca perkongsian yang pertama, saya terus tanya Basit. Ke mana sahaja sebenarnya dia pada waktu itu. Kata Basit, sewaktu saya tidur di rumah dengan keluarga besan, beberapa hari sebelum Madiha meninggal, Basit dan Madiha sudah membuat perjanjian.

Basit tidak mahu Madiha mti di depan matanya, Madiha pula tidak mahu Basit melihatnya mti. Jadi hari itu, Basit dapat merasakan, waktu pemergian Madiha sudah makin dekat. Dan dia yakin, Madiha memintanya membeli Coca-Cola kerana dia sudah dapat merasakan dia akan pergi dalam masa yang terdekat.

Kata Basit, kalau betul-betul Madiha mahu makan atau minum sesuatu, dia pasti akan meminta suami saya yang belikan. Tapi hari itu, Madiha suruh dirinya. Pasti ada sebab tertentu.

Basit solat dan berdoa semasa Madiha nazak

Kata Basit, setengah jam selepas itu, dia naik dan nampak jururawat bergegas masuk ke bilik Madiha. Masa itu kami semua belum keluar dari bilik, Basit turun semula ke bawah. Tunggu di bawah, dia kata dirinya tidak keruan. Sudahnya dia segera ke surau di tingkat atas sekali dan berdoa. Semoga Madiha dipermudahkan urusannya.

Ya Allah, baru saya sedar, selama ini saya bersangka buruk dengan anak saya sendiri. Sedangkan waktu saya menjerit-jerit seperi orang hilang akal memanggil namanya, Basit sedang sibuk solat hajat memohon dipermudahkan urusan isterinya.

Saya betul-betu rasa kecewa dengan diri sendiri, betapa hati saya tergamak prasangka buruk terhadap anak sendiri.

Kata Basit, dia turun semula ke bilik Madiha dan lihat bilik Madiha seolah-olah sudah kosong daripada doktor dan jururawat. Masa itu dia yakin, semuanya sudah ‘selesai’. Masa itu lah, dia kumpul kekuatan untuk masuk dan lihat sendiri.

Saya juga tanyakan sekali lagi tentang mimpi Madiha berjupa dengan lelaki mlsteri di bawah pokok yang menghalang Madiha masuk ke sebuah rumah, Basit masih pertahan jawapan yang sama. Dia tidak akan beritahu sesiapa atas permintaan Madiha.

Basit kembali duduk bersama kami

Beberapa minggu selepas pemergian Madiha, Basit keluar dari rumahnya dan kembali tingal bersama saya. Katanya, dia tidak mampu melupakan kenangannya bersama Madiha di rumah itu. Rumah tersebut kini disewa oleh sekumpulan jururawat di hospital tempat Basit bertugas.

Di rumah saya pula, Basit tukar biliknya dengan bilik adiknya. Dia tidak mahu menanggung kenangan yang terlampau banyak jika terus duduk di bilik itu di tingkat atas rumah kami. Sudah 7 tahun juga, Basit tidak naik ke atas. Hanya beberapa kali sahaja di naik pun, sama ada mahu ke bilik saya atau ambil bantal, cadar atau sarung bantal yang baru dicuci.

Rumah kini sunyi sepi

Jika tidak, dia sama sekali tidak akan naik ke atas. Terutama sekali ruang menonton tv di atas, sudah 7 tahu saya perhatikan, dia tidak naik dan duduk di situ. Ketika Madiha masih hidup, ruang itulah yang dia dan Madiha selalu luangkan masa bersama. Tengok drama korea dan movie bersama. Sekarang, tingkat atas sunyi sepi. Saya dan suami pun naik ke atas masa nak tidur sahaja.

Rumah pun sangat berbeza lepas pemergian Madiha. Tiada lagi yang menghantar kami di pintu untuk pergi kerja, balik kerja. Tiada lagi yang ketuk lesung nak goreng nasi pagi-pagi. Tiada lagi yang nak ambil menu kami untuk masakan esok hari. Kini, cuma ada, dua orang pesara yang banyak habiskan masa membaca buku dan tengok tv.

Al-fatihah…

Sumber – Cikgu Norlia (Bukan nama sebenar) via iiumc

Sebuah perkongsian yang hebat dari Cikgu Norlia mengenai pemergian menantunya, Madiha. Berkali pun baca kisah Madiha ini, pasti hati akan tersentuh.

Kami doakan semoga roh Madiha dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman.

Yang baik itu kita jadikan lah sebagai tauladan dan pengajaran. Apa pula kata anda.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *