Tgh bunting, aku jwb SPM. Lps bersalin, tiba2 fmly Arin dtg. Arin tenat, teringin jumpa anaknya sblm terlmbat

Foto sekadar hiasan.

Pend0sa yang sedang dihukum.

Nama aku Warda. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang susah. Ayah bekerja sebagai tukang rumah di kampung dan mak hanyalah suri rumah tangga. Aku punyai 3 orang adik beradik dan aku merupakan satu satunya anak perempuan mereka.

Oleh kerana itu aku dimanjakan dan setiap apa yang aku mahu, ayah dan mak akan usaha untuk tunaikan.

Walaupun keluarga aku susah, tetapi hidup aku mewah kerana aku di kelilingi oleh ramai lelaki yang sudi memberikan aku kemewahan. Mungkin rezki aku memiliki rupa paras yang menarik aku jadi rebutan para lelaki di sekolah juga di luar sekolah.

Ada yang sanggup bergaduh, bertumbuk dan bermusuhan di sebabkan aku. Dalam ramai ramai lelaki itu, aku lebih tetarik kepada Arin ( bukan nama sebenar ).

Arin tidak bekerja tetapi hidupnya mewah, rezeki dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya raya. Kemewahan yang aku angankan pada setiap malam sebelum tidur ada pada Arin.

Siapa tidak gembira jika setiap pergi dan pulang sekolah dijemput si buah hati. Kadang-kadang motor besar dan kadang-kadang kereta mewah. Bebas kemana sahaja ibarat burung yang terbang diangkasa.

Enam bulan aku bersama Arin, aku sangat bahagia. Keluarga aku tahu aku berkawan dengan Arin dan mereka tidak membantah kecuali abang ku yang sulong. Along menuduh Arin mengedar ddah dan menjual perempuan kerana itu dia banyak duit. Cerita yang di dengar daripada mulut kawan kawannya dia percaya bulat bulat. Mati matian dia menghalang aku berkawan dengan Arin.

Tapi aku tetap dengan pendiriaanku kerana sepanjang aku mengenali Arin, dia langsung tidak menunjukkan tanda tanda yang dia seorang penagih ddah apatah lagi mengedar.

Arin cukup menghormati maruah aku sebagai seorang wanita. Ayah dan mak menyebelahi aku, mereka turut membantah setiap kata kata along. Ayah dan mak kenal benar keluarga Arin. Jika disebut nama ibu dan bapanya, semua kenal dan tahu mereka berharta. Ayah kata, ayah tak mampu bagi aku kemewahan tetapi dia berjanji akan memberi aku bahagia dengan merestui hubungan aku dengan Arin.

Masuk tahun pertama aku bersama Arin. Dia membelikan pada aku sebentuk cincin dan seutas rantai emas. Tanda yang dia bersungguh sungguh ingin memiliki aku. Arin berjanji akan membawa orang tuanya bertemu dengan orang tuaku setelah aku tamat SPM.

Gembiranya hatiku tidak terkira. Arin juga berjanji akan mula berkerja di syarikat ayahnya selepas kami bertunang. Mendengar itu, hatiku semakin berbunga bunga kerana ianya akan membuat along ku merestui hubungan kami.

Hari raya puasa, aku dibawa bertemu dengan orang tuanya untuk kali pertama. Aku dilayan baik walaupun aku anak orang susah. Ibunya seorang peramah. Macam-macam cerita kami bualkan. Semuanya tentang Arin. Arin juga punyai 3 adik beradik dan semuanya lelaki.

Selain daripada memiliki kedai perabot, keluarganya juga ada 10 buah rumah sewa dan ianya kini telah diuruskan oleh Arin memandangkan dia anak yang sulong. Maka tidak hairan lah kenapa Arin mewah walaupun tidak bekerja.

Sebenarnya, permulaan diatas hanyalah ingin menceritakan pengenalan antara aku dan Arin supaya para pembaca mudah untuk faham apa yang cuba aku sampaikan.

Semenjak dari pertemuan aku dengan orang tuanya, hubungan kami semakin erat kerana telah mendapat restu dari kedua pihak dan aku semakin berani mengikut kemana sahaja Arin pergi.

Kadang kala sampai berhari hari tidak pulang kerumah, mengikut Arin dan kawan kawannya bercuti. Kadangkala kami bermalam di rumah sewa Arin yang kosong sehingga lah pada satu malam itu kami terlanjur.

Bukan kali itu sahaja malah berkali kali tanpa rasa bersalah. Aku rela Arin memiliki tubuhku kerana janji yang dilafaznya sambil menjunjung al quran. Setiap sumpah dan janjinya bergitu meyakinkan aku, dia akan menikahi aku, membahagiakan aku dan hanya aku dihatinya hingga ke akhir hayat. Dua bulan aku tidak haid, mak membawa aku ke klinik. Aku disahkan hamil.

Mak terkedu dan ayah terdiam. Sepanjang perjalanan pulang ayah dan mak hanya membisu. Aku tahu mereka marah padaku. Hati mereka hancur apabila satu-satunya anak perempuan yang ada telah mencoteng arang kemuka mereka.

Tetapi apakan daya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan mustahil untuk berpatah kembali. Berbeza pula dengan aku, perasaan ku ketika itu sangat gembira kerana aku telah hamilkan anak kekasih hatiku… Arin… Satu-satunya lelaki yang aku sayang dan akan membawa aku keluar dari kepompong kemiskinan.

Aku menghubungi Arin dan memaklumkan pekara itu kepadanya. Mendengar berita itu, Arin sangat gembira dan berjanji akan membawa orang tuanya kerumahku.

Malam itu, dua pihak bertentang mata. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Apa yang aku impikan berkecai semuanya. Keluarganya tidak mahu menerima anak yang aku kandung ini dan mengatakan ianya bukan ‘benih’ dari Arin walaupun Arin mengaku ianya adalah zuriatnya.

Ayah ku mengugut untuk melaporkan kepada polis jika Arin tidak mahu bertanggungjawab. Keluarga Arin pula mencabar jika kes ini dilaporkan ianya akan di bawa ke mahkamah dan pihaknya akan lawan.

Memang betul aku liar, bebas, bertukar tukar lelaki sebelum Arin, malah Arin juga bukan yang pertama dan bukan juga yang kedua pernah meniduri aku. Tetapi selepas aku mengenali Arin, aku putuskan semuanya.

Aku berubah…!! Aku tinggalkan segalanya demi Arin. Arin juga tahu tentang kisah silam ku dan dia dapat terima ku seadanya. Kisah silam aku menguatkan lagi keyakinan mereka untuk menang.

Ayah terpaksa membatu, apalah nasib kami orang susah, mana mampu untuk mengambil peguam untuk membela. Lagi pula aku juga turut membantah keputusan ayah untuk membuat laporan polis kerana aku sayangkan Arin dan yakin boleh memujuk keluarganya untuk menerimaku dengan cara yang baik.

Arin semakin lama semakin menjauh. Along tidak sudah sudah menyalahkan aku. Mujur lah mak dan ayah tidak membuang aku. Aku pernah pergi bertemu Arin, merayu dan melutut kepada Arin untuk terima aku dan anak ini.

Namun Arin tidak mampu. Dia tidak mahu hidup susah. Ibunya memberi kata putus, jika ingin hidup bersama aku lupakan keluarganya dan jika ingin hidup mewah, lupakan aku. Aku pulang dengan hati yang hancur.

Aku tidak kisah lagi dengan impian untuk bersenang lenang ibarat puteri raja. Hanya aku mahu adalah seorang ayah kepada anakku ini. Anak ku ada ayah yang menyayanginya seperti kanak kanak yang lain…!!

Aku ingin hidup bekeluarga. Cukup lah aku sahaja dihina sewaktu dibangku sekolah rendah kerana susah. Tidak mampu miliki beg sekolah yang mahal, kasut sekolah yang berjenama, alatan tulis yang pelbagai warna dan corak.

Jika ingin makan yang sedap sedap, aku terpaksa mengampu kawan kawan yang kaya. Mana yang simpati akan memberi barang barang terpakai milik mereka kepada aku. Aku serik, dan kini anak ku pula yang lahir tanpa ayah, lagi besar penghinaan yang dia bakal terima. Maafkan mak sayang.

Demi anak ini, aku tebalkan muka dan kuatkan semangat melangkah pergi kerumah ibu dan bapa Arin, sendirian tanpa ditemani sesiapa demi secebis simpati dari keluarga Arin, malangnya aku dihalau sebelum sempat masuk ke pintu pagar.

Arin hanya melihat dengan bersahaja, aku diseret oleh ibu saudaranya sehingga aku jatuh terduduk dengan kandungan berusia 6 bulan. Pelbagai tomahan dan caci aku telan. Mujur la anak ku kuat. Kandungan ku selamat. Apa yang aku ingat sehingga ke hari ini.

Arin melulu datang kearahku. Aku sangka dia datang untuk membantu aku bangun dan memilih untuk hidup bersama aku, rupa rupanya dia datang untuk menambah perit pada luka yang ada.

Arin mencampakkan kemuka aku sejumlah duit yang banyak dan meminta aku menggugurkan zuriatnya yang telah mula tumbuh menjadi janin, yang telah cukup sifatnya dan mula menendang perutku sebagai tanda dia wujud di dalam rahim ku.

Berkali kali Arin minta aku pergi dari hidupnya supaya dia tidak rasa bersalah dan dipersalahkan. Aku tahu dia telah ‘dira cun’ oleh ahli keluarganya yang lain supaya membuang aku dari hidupnya.

”Paksu kau dah pesan kan. Setakat nak main main boleh. Kalau nak buat bini, cari yang setaraf. Ni sampai bunting kau kerjakan. Entah anak jantan mana dia bunting, kata anak kau. Hey. Keturunan aku tak ada yang beranak luar nikah tau. Dah tak tahu nak pakai perancang ke apa dulu. Main sodok jer…”

Kata kata ibu saudaranya yang sampai mati akan aku kenang.

Akhirnya aku melangkah kaki dengan sejuta kedukaan dihati meninggalkan duit yang bertaburan di lantai. Aku masih bermaruah. Biarlah walaupun hanya sisa sisa yang tinggal akan ku cuba pertahankan secebis maruah yang ada. Aku datang sini bukan lagi untuk duit, tapi meminta seorang ayah buat anakku.

Aku menjawab SPM dengan perut yang membusung, Alhamdulillah lebih ramai yang bersimpati berbanding yang menghukum. Pelbagai kata nasihat dan semangat aku dapat daripada kawan kawan dan guru guru.

Aku meneruskan hidupku, ayah dan mak pula sudah mulai lali dengan hinaan jiran jiran, semua diabaikan sehinggalah mereka penat untuk mengata lagi dan akhirnya suasana kembali seperti biasa.

Berkali kali aku sujud taubat mohon kemapunan tuhan dan mulutku tidak lekang memohon maaf dari mak dan ayah. Aku mula mencari ketenangan dengan bacaan al quran. Mendekatkan diri dengan surau dan masjid.

Ada juga diatara kawan kawan lelaki aku yang dahulu benar benar ikhlas sudi menjadi pak sanggup, tapi aku tolak. Aku tahu mereka ikhlas keatasku. Aku tidak mahu aku dan anak ini nanti menjadi beban kepada mereka.

Aku redha dan menganggap ini antara balasan tuhan keatas aku kerana telah banyak mainkan perasaan dan hancurkan hati orang satu waktu dahulu. Aku buang yang buruk dan aku jadikan ianya satu rahmat tuhan.

Hubungan antara aku, along dan angah yang semenjak dulu tidak pernah rapat kini semakin erat. Along yang dulu tidak pernah ‘sebulu’ dengan angah kini semakin bekerjasama dalam setiap pekara.

Aku sangka mereka telah membuang aku, rupa rupanya tidak. Pernah mereka balik dalam keadaan luka dan bengkak bengkak kerana dipukul oleh keluarga Arin, rupa rupanya dalam diam diam mereka pergi berjumpa Arin minta bertanggungjawab. Malangnya Arin tidak mahu berlembut dan menghubungi pakcik pakciknya supaya datang menghalau along dan angah.

Aku meraung. Menangis dalam dakapan mereka..

” Biarlah long… ngah… Adik ok… selagi adik ada long, ngah, ayah dan mak, adik kuat. Adik yang bodoh, tuli dengan cinta…”

Kataku berkali-berkali. Aku tidak mahu abang abang ku hilang nyawa kerana d0sa-d0saku.

Sembilan bulan berlalu dengan pelbagai duka dan air mata. Subuh hari bersaksikan mak, aku selamat melahirkan bayi lelaki. Sihat dan cukup sempurna. Along telah mengazankanya dengan penuh kasih sayang.

Melihat wajah comel sikecik aku menjadi sayu. Para isteri di dalam ward bersalin dikunjungi dan ditemani suami. Setiap anak ada ayah yang mendukungnya. Aku…? Bagaimana pula anakku…? Tak apa lah sayang… Kamu ada paklong dan pakngah yang akan mendidik kamu menjadi manusia. Jangan nakal-nakal macam mak yer sayang. Aku menangis lagi.

Hampir 6 bulan aku tidak mendengar berita Arin semenjak along dan angah pulang dalam keadaan luka dan bengkak bengkak itu, tiba tiba aku dapat berita adik ke 2 Arin meninggal kerana eksident dilanggar lari. Aku mengucap panjang. Siapa lah aku untuk menghukum kerana aku adalah seorang pend0sa yang sedang ‘dihukum’.

Habis pantang, aku bekerja di sebuah mall dengan menjadi promoter barang barang wanita. Sedang aku sibuk mengemas dan menyusun barang-barang aku disapa seseorang yang amat aku kenali.

Sekali lagi aku beristighfar pada Allah Swt mohon keampunannya. Aku tunduk sambil hatiku berdoa semoga Allah Swt memberi hidayah kepadanya.

”Akak Warda jangan marahkan Mely yer. Mely tak terlibat dalam apa yang berlaku pada kak Warda dan Abang Arin.”

Aku hanya mendiam kan diri dan cuba mencari keikhlasan di dalam diriku. Aku benar-benar berasa seperti bermimpi kerana yang berdiri di hadapanku kini adalah adik lelaki Arin.

Dahulu, dia tidak lah selembut ini. Tidak lah memakai blause dan berseluar sendat berbunga-bunga seperti sekarang. Aku hanya mengangguk dan memberi senyuman sebelum berlalu. Aku bimbang jika lama lama aku disitu, aku akan bersikap kejam, mendoakan yang buruk buruk dan ego akan mula menebal. Maka aku mengalah. Meninggalkan dia setelah memberi sebuah senyuman yang paling manis.

Kini setahun telah berlalu. Tidak lama lagi Nur Muhammad, anak ku akan menyambut ulang tahunnya yang pertama.

Awal bulan September yang lalu, keluarga aku di datangi tetamu yang tidak diundang. Keluarga Arin datang merayu untuk bertemu Nur Muhammad dan ingin membawa Nur Muhammad bertemu dengan Arin sebelum Arin menerima ‘hukuman’ dari Allah SWT. Dia mengidap brah tulang tahap 4 dan kini sedang menanti ‘maut’ menjemput.

Menurut mak, ayah telah menghalau mereka sekeluarga dengan batang penyapu yang kebetulan sewaktu kedatangan mereka ayah sedang mengemas laman. Mujur la waktu itu ayah sedang menyapu laman bukanya sedang menyabit rumput atau menebang pokok.

Aku pula telah lama berpindah menginap di rumah sewa sendiri. Rezeki aku kerana dapat kerja yang baik, halal dengan gaji yang agak lumayan. Aku ingin bina hidup baru bersama anakku jauh daripada masyarakat yang tahu kisah silam aku. Biarlah ianya terkubur sepi sehingga tiba masanya Nur Muhammad tahu kebenarannya dan waktu itu aku harap aku kuat untuk menceritakan padanya.

Mak kata, itu bukanlah kali pertama mereka datang, boleh dikatakan setiap hari, merayu untuk temukan Nur Muhammad dengan Arin. Aku melarang mak memberitahu dimana aku bekerja dan dimana aku tinggal.

Bukan niat untuk berdendam atau memberi hukuman kerana aku tidak lah layak untuk menghukum sesiapa. Cuma aku memerlukan masa, mencari kekuatan serta keihlasan untuk membawa Nur Muhammad bertemu dengan Arin. Bila waktunya biarlah ianya ditentukan Allah SWT.

Yang aku tahu, aku cukup berterima kasih kepada Arin sekeluarga kerana mereka aku berubah, mula mencari Allah dan melalui mereka aku mendapat hidayah serta pertunjuk.

Allah SWT ‘mengirim’ mereka kepada aku sekadar untuk ‘menjentik’ aku daripada aku terus tenggelam mengejar dunia. Bukan niat aku untuk menghukum kerana aku sendiri adalah pend0sa yang sedang ‘dihukum’…

Reaksi warganet

Syazana Ariffin –
Benarkan Arin jumpa nur muhammad. Tak salah mengalah, beri peluang saat2 akhir seseorg.
Mungkin arin nak mintak maaf dan menyesal di atas perbuatan lalu dia. Dan teringin jumpa anak dia. Walaupon dia menafikan dulu.
Awak akan jadi seorang wanita hebat.

Murni Jamal –Balasan dan kesan d0sa akibat zina laki perempuan itu ‘ditanggung’ oleh anak yang tak berd0sa tu.

Anak yang suci tak berd0sa tu dahlah tak dapat nasab bapa dia, tak dapat harta daripada bapa dia, dan kalau anak tak sah taraf tu perempuan, si bapa bi0loginya tak ada hak nak walikan dia malah boleh bernikah pula dengan si bapa bi0logi tu.

Kasihan sungguh nasib si bayi tak berd0sa ni. Ibarat orang lain yang berhutang, tapi orang lain yang menanggung beban hutang…

Syarifah Nuratikah Najwa –
Allahuakhbar berat dugaan awak dik tapi alhamdulilah ada hikmah disebalik ujian. Menangis aiii baca 😭😭😭.

Tapi mak geram dengan si Arin konon nak jumpa “anak” dia bila dah nak mampusss!! Tahu pulak nak mengaku anak. Heyyyy tak lah aku!!

SN Za –
Allahu sayang, ini pengajaran untuk gadis2 yang lain. Kita kena sentiasa sedar diri kita ni orang susah. Biar tak berharta tapi bermaruah. Gadis gadis yang asal dari golongan susah kena ingat, pelajaran lah yang akan bawak kita keluar dari kepompong kemiskinan.

Bukan macam cerita dongeng lelaki kaya datang kahwin dengan awak. Kisah macam ni kita ambil iktibar. Iklhas dari saya untuk semua gadis2 kat luar sana tu.

Arfa Al Malik –
Betullah, “selagi tidak mengandung, selagi itulah berzina”. Dan bila dah mengandung, sama ada jalannya kembali kepada ALLAH atau terus hanyut dalam d0sa (gugurkan atau teruskan). Kita yang pilih.

Takutlah kita kepada azab ALLAH, bukan kepada tohmahan manusia yang juga penuh dengan d0sa dan noda.

Tahniah confessor, kau masih punya iman dalam hati di samping mereka yang ikhlas menyayangi kau.

Penulisan : Cik Puan Ammy

Kisah benar daripada seorang sahabat lama… Kisah ini diceritakan oleh abangnya ( watak Warda ) kepada Ammy untuk dijadikan iktibar kpd para pembaca… Watak dan tempat Ammy ubah untuk menjaga Aib…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *