Krn sikap suami, aku tanggung akibatnya. Sampai di rumah mertua, aku dikata biadap. Dihentam teruk

Foto sekadar hiasan.

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Fenomena 7 hari mencintaiku 2 begitu hot topic sekarang ni. Rata rata antara kita semua membawang mengenainya. Kisah konflik antara ibu mertua bernama Mak Leha dan menantunya Mia.

Saya tak terkecuali dari sebahagian penonton drama ini dan mengikuti setiap plot ceritanya. Bila menontonnya, terkenang kisah saya beberapa tahun lalu. Sedang mengandung dan ada sedikit krisis dengan keluarga mertua. Cuma tidaklah seteruk drama tersebut.

Sejujurnya, di awal perkahwinan keadaan saya dan keluarga mertua baik baik sahaja. Selepas mempunyai 2 orang anak saya terpaksa berhenti kerja.

Anak anak lahir rapat dan menyukarkan saya bekerja. Bila jatuh sakit mereka bergilir gilir sakit dan pernah seminggu lebih saya terpaksa tidak masuk pejabat.

Keadaan begitu kerap berlaku dan saya juga tidak mahu kerja suami terganggu ambil keputusan untuk duduk di rumah menguruskan segala keperluan suami dan anak anak.

Suami pula jenis kuat bekerja langsung tiada tolak ansur dalam urusan penjagaan anak anak. Semua terpikul atas bahu saya sepenuhnya.

Suami seorang yang bertanggungjawab, hormat ibu bapa mertua, sayang ibu dan adik beradiknya. Cuma tidak begitu prihatin terhadap saya dan anak anak. Malah tidak romantik langsung berbeza dengan watak Khuzairi yang terlebih romantik.

Suami saya ni lebih rela buat 2-3 kerja diluar berbanding membantu saya menguruskan anak anak.

Setelah hampir setahun berhenti kerja saya disahkan mengandung anak ke-3. Tanpa dirancang. Sama seperti mengandung anak ke-2 sebelum ini, juga tanpa dirancang.

Cabaran makin kuat kerana anak rapat rapat. Saya pasrah dengan rezeki Allah walaupun sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjarakkan kandungan seterusnya. Kita manusia hanya mampu merancang tapi Allah S.W.T adalah sebaik baik perancang!

Due date bayi saya adalah pada waktu keluarga mertua merancang percutian ke luar negara.

Saya memberitahu dengan baik bahawa kami sekeluarga tiada rezeki untuk pergi bersama mereka memandangkan due date bayi saya terlalu hampir dengan tarikh yang keluarga mertua pilih.

Tetapi, ibu mertua seakan mendesak agar kami sekeluarga turut serta. Siap cakap dengan suami saya, kalau saya tak boleh pergi biarlah anaknya dan cucu (anak sulung saya) sahaja yang pergi bersama mereka.

Mulanya saya tak kisah sangat dengan permintaannya itu, tetapi terlalu kerap didesak hingga kadangkala membuat saya tertekan.

Sudahlah saya tengah mengandung, menguruskan anak anak seorang diri di rumah tanpa bantuan suami. Tiada kawan untuk saya berbual kongsi rasa suka duka.

Bila pergi ke rumah mertua, ibu mentua saya asyik bercakap perkara yang sama. Asyik nak ajak anaknya dan cucu menyertai percutian keluarga sedangkan waktu percutian itu adalah due date bayi saya yang ke-3.

Kalau situasi ini berlaku kepada pembaca, adakah wajar membiarkan seorang isteri bersalin seorang diri sedangkan suami tiada disisi kerana pergi bercuti bersama keluarganya ke luar negara?

Nak dijadikan cerita, sebelum ini saya dan anak anak pernah tinggal hampir dua minggu bersama keluarga mertua atas sebab sebab yang tidak dapat saya ceritakan di sini.

Bila suami pulang ke rumah mertua untuk membawa saya dan anak anak pulang semula ke rumah kami, timbul pelbagai cerita mengenai sikap saya di adukan kepada anaknya itu.

Saya cuma tutup mulut walaupun tidak puas hati dan kecil hati dengan sikap ibu mentua yang mengadu perkara bukan bukan kepada anaknya sedangkan dia tau keadaan yang dialami saya dan anak anak pada ketika itu.

Berbalik kepada cerita ibu mentua mendesak anaknya dan cucu iaitu anak sulung saya untuk bercuti bersamanya. Saya ada meluahkan rasa tidak senang dengan sikap ibu mentua kepada suami. Namun, suami cuma membalas, “kalau awak tak bagi pergi, saya tak pergilah.”

Saya balas, “bukan saya nak halang, cuma tolong fikirkan keadaan saya yang sedang mengandung dan anak dalam kandungan ni.” Itu saja permintaan saya. Alhamdulillah, sedikit sebanyak suami faham tentang keadaan saya.

Ketika mengandung, kami sekeluarga memang kerap pulang ke rumah mertua. Saya ni jenis tak kisah, bagaimana saya layan ibu saya sendiri begitu juga saya layan ibu mentua saya.

Perangai saya ni bukanlah jenis outspoken macam watak Mia tu, saya baik hati tak suka bercakap kasar dengan orang yang lebih tua dari saya,

Cuma perangai saya sedikit kasar dan cepat marah kerana saya jenis protective terhadap keluarga saya memandangkan saya anak sulung perempuan dalam keluarga.

Jika ada yang tidak kenal rapat dengan saya, mereka memang tidak tahu perangai saya dan mereka cepat menuduh saya biadap dan kurang ajar.

Sepanjang kehamilan ke-3, adakalanya saya keletihan kerana selain menjaga anak anak sendiri saya juga mengasuh dua orang anak asuhan atas niat ingin mengurangkan beban tanggungan suami terhadap saya dan anak anak.

Suatu hari, saya dan suami pulang ke rumah ibubapanya. Ibu mentua pesan supaya minggu depan datang lagi ke rumahnya kerana ada sambutan ulangtahun kelahiran anak saudara suami.

Caranya sama, tetap mendesak agar kami sekeluarga datang lagi minggu depan. Saya tak kisah, cuma berkata, “Insha-Allah.”

Pada hari kami nak pulang ke rumah mertua untuk sambutan ulangtahun anak saudara suami, secara mendadak anak sulung saya diserang demam. Suhu badannya sangat panas.

Saya minta suami bawa ke klinik terus tetapi suami tak nak sebab nak cepat sampai ke rumah ibubapanya sebelum majlis bermula. Dia ugut jika saya berdegil dia takkan bawa anak sulung ke klinik untuk dapatkan rawatan.

Hati isteri mana yang tak terguris mendengar ugutan sebegitu. Suami sebenarnya, lebih pentingkan permintaan ibunya sendiri sedangkan anak sulung kami sedang sakit dan perlu dirawat segera.

Pada saya, biarlah urusan rawatan anak demam disegerakan kemudian barulah pergi ke majlis anak saudaranya itu untuk memenuhi permintaan ibunya.

Tapi, suami bersikap langsung tak ada perasaan seolah olah anak sulung saya yang sakit tidak penting di matanya.

Saya ikut kata suami untuk terus ke rumah mertua kira kira sejam lebih perjalanan.

Saya usaha tuam badan anak dengan kain basah sambil berdoa suhu badannya turun dan beri anak sedikit makanan. Namun, dimarahi suami kononnya saya hanya mahu mengotorkan keretanya.

Saya diam dan berhenti menyuap anak sulung saya makan. Nasib baiklah anak ke-2 saya sangat baik dan langsung tak meragam.

Setibanya di kawasan perumahan mertua, suami membawa kami ke klinik berdekatan untuk anak sulung saya mendapatkan rawatan. Namun dia keluar dari kereta masuk ke dalam klinik seorang diri tanpa membantu saya memapah anak sulung yang sedang demam.

Suami cuma bercekak pinggang dengan muka masam sambil melihat saya bersusah payah bersama dua orang anak dalam keadaan sarat mengandung membawa mereka ke dalam klinik.

Keadaan itu, diperhatikan juga oleh dua orang nurse yang sedang bertugas di kaunter hadapan klinik. Sedihnya hati saya pada waktu itu tak usah cakaplah!

Selesai berurusan di klinik, kami terus ke rumah mertua. Sudahlah saya sedang mengandung, diperlakukan begitu oleh suami sendiri. Rasa sedih, marah dan kecewa membuak buak terhadap sikap suami.

Mungkin kerana saya sedang sarat mengandung, emosi saya menjadi sangat teruk dan sukar untuk dikawal lagi.

Kelihatan cara saya agak hambar ketika tiba di rumah mertua dan muka saya yang langsung tak senyum membuatkan keluarga mertua terus label saya sebagai biadap dan kurang ajar.

Kerana sikap suami, saya terasa hati, marah dan kecewa dengannya, saya menanggung akibatnya. Di benci ibu mentua katanya saya tak hormat dia ketika sampai di rumahnya.

Di hentam teruk di media social oleh ipar duai. Hingga saya terpaksa menutup kesemua media social yang saya ada untuk meredakan tekanan kerana saya hampir melahirkan bayi saya. Anak anak dan keluarga saya adalah kekuatan saya masa tu.

Peliknya, hanya kerana cara saya yang hambar dan muka yang langsung tak senyum hanya dalam beberapa jam setibanya di rumah mertua terus boleh dilabel sebegitu rupa.

Benarlah kata orang, sebaik mana pun keluarga mertua, seorang menantu perempuan tetap dianggap sebagai orang luar. Keadaan berterusan sehinggalah saya melahirkan bayi ke-3.

Alhamdulillah, berteman suami di sisi, anak anak dan keluarga saya sendiri. Kalau pembaca nak tahu, tarikh bayi saya lahir ke dunia adalah sama tarikh keluarga mertua saya bertolak ke luar negara untuk bercuti.

Saya sedikitpun tak rasa rugi. Saya masih beruntung dan bersyukur walaupun perangai suami saya adakalanya terlalu mengikut permintaan ibunya, tetapi dia masih boleh berfikir rasional apabila perlu bertanggungjawab terhadap keadaan isterinya.

Sebenarnya, selepas kelahiran bayi ke-3 ini pun keluarga mertua terus terusan dingin terhadap saya. Selalu diperli dan keluarga saya sendiri turut terkena tempiasnya.

Saya begitulah, dalam tak kisah dan berdiam diri dengan segala hentaman adakalanya menangis juga merintih berdoa kepada Allah S.WT supaya hubungan dengan keluarga mertua pulih seperti sediakala.

Cuma ibu dan ayah saya tempat meluah rasa, mereka sangat memahami. Tak putus putus memberi kata semangat dan nasihat berguna.

Sebagai seorang menantu perempuan, saya juga ada khilafnya kerana saya cuma manusia biasa yang ada personaliti tersendiri.

Di didik dalam keluarga yang amat sederhana. Mungkin cara, didikan dan persekitaran keluarga mertua sedikit berbeza tetapi saya tetap berusaha membiasakan diri apabila bersama mereka.

Saya sedar yang saya tetap orang luar sampai bila bila. Saya terima dengan hati terbuka, biarlah begitu jika dengan cara itu membuatkan hubungan dengan keluarga mertua pulih semula.

Tak perlu berlebihan ketika berada dalam keluarga mertua, tak perlu berusaha keras hingga memudaratkan hati dan cuma jadi diri sendiri.

Semoga confession saya menjadi sebahagian dari 1001 cerita mengenai kisah ibu mentua dan menantu. Kasut kita semua tak sama. Lega hati saya setelah dapat berkongsi cerita yang tak mungkin saya akan lupa sampai bila bila.

Sekian…

Reaksi warganet

Adibah Ismail –
Terkilan betul baca ugut tak nak bawa anak sendiri pergi klinik, nasib tak sampai sawan budak tu.

Lepas bersalin ni merancang puan, cukup lah 3 anak tu. Rehatkan diri puan. Orang kalau tak suka kite memang besar kuman pun nampak salah kite. Biar je lah. Tak perlu berharap.

Mumum ElQadrawi –
Sedih saya baca sis. Tak mampu saya nak komen sebab banyak mata mata memerhati. Saya cuma doakan satu hari nnti ada kesedaran timbul di hati suami sis.

Bagi saya biarlah orang lain bagi layanan buruk pada kita. Asalkan suami tahu membela isteri, suami tahu utamakan situasi yang lebih peting, suami tahu berkongsi tangjawab di rumah dengan isteri. Suami tahu bagi layanan baik pada isteri dan anak anak sendiri. Itu yang paling utama..

Ruzita Mohd Salleh –
Agak agak lah nak ajak anak bercuti. Tak kan tak faham menantu tu tengah sarat mengandung mesti perlukan suami dia. Tak kira lah dah nak bersalin ke tak.

Sayang ke anak pun, bila anak tu dah kahwin kena faham kedudukan anak tu yang ada tanggungjawab lain. Jangan tamak kasih sayang.

Suami pun agak agak lah ank tu demam boleh buat perangai macam tu. Penting ke hari jadi anak buah pulak dari anak sendiri. Lambat lambat pegi dapat rawatan buatnya budak tu sampai kena sawan tak ke menyesal sampai sudah.

Bila dah jadi suami, isteri, emak dan ayah kena faham dan tengok keadaan. Jangan menonong je buat keputusan.

Bahiyah Hamid –
Puan terlalu banyak tengok drama sehingga membandingkan hidup puan dengan drama. Puan ada pasang implan atau ade buat ape ape perancang kehamilan tak. Kalau tak rancang ape sememang kehamilan itu memang dirancang.

Bila tak merancang, lepas tu awak merungut. Kalau anak rapat rapat tapi suami supportive dalam urusan rumahtangga setahun 2 orang sehingga 10 orang should be ok.

Memandangkan suami banyak bekerja ada baiknya puan pergi klinik kesihatan berdekatan dan pasang implan. Tunggu anak anak besar beranak semula. Bagi badan tu berehat dulu. Ini cadangan saye, sebab saye pun surirumah. Anak jarak jauh jauh dan suami banyak uruskan bersama pun letih ampun dah rase.

Ini kan pula anak rapat rapat dan suami pun tak galas bebanan sama sama. Triple letih. Semoga dipermudahkan urusan awak ye.

Ku Iris –
Hal yg sama berlaku pada saya mentua dan ipar-duai yg perempuan mulut macam puaka tapi tudung labuh meleret, berstokin dan berniqab. Bab mengata, memperli 1st class!

Sorry to say sis awak ni lembik sangat. Kena tegas dan ada pendirian sendiri. Kalau tak suka cakap tak suka dan beri sebab sebab nya. Kalau anak dah sakit tak perlu paksa diri pergi juga ke rumah mil tu.

Saya juga TIDAK bermedsos dengan ipar-duai yang mulut puaka ni. Medsos saya bukan untuk mereka ini. You got to be strong sis! Kalau tak siapa pun tak akan hormat awak.

Tapi kalau ambil jalan ini iaitu bertegas what is right is right n what is wrong is wrong be prepared utk dibenci oleh mereka ini. Saya dah berbelas tahun berkahwin. Tak mati dibenci, saya happy, puashati, and my hubby at last on my side.

Keyla Syukor –
Anak tu memang rezeki, tapi merancanglah betul betul. Sebab tu kena pilih perancang keluarga yang betul betul serasi dan berkesan pada kita.

Kalau suami tu jenis memang boleh layan dan tolong kita sepanjang kehamilan, Alhamdulillah. Kalau dapat jenis macam suami confessor ni?

Suami pula, pentingkan isteri dan anak anak sebab isteri dan anak anak tu la yang ada dengan kita sampai tua, sampai kita sakit dan mungkin ditakdirkan tak boleh berjalan.

Betul. Ibu itu syurga bagi suami kita, tapi suami jangan pentingkan syurga yang itu sampai terabai bidadari sendiri. Isteri dan anak itu amanah. Kena adil dan sama rata.

Bab keluarga mertua tu tak nak komen sebab kita tak boleh ubah perangai orang. Cuma boleh doakan semoga hubungan confessor dan keluarga mertua dia baik semula. Tak seronok hidup bermasam muka ni…

Sumber – Hanya Menantu Biasa (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *