Tak kenal tp aku terima pinangannya. Mlm sblm nikah, aku tersentak sebaik terima satu kiriman

Foto sekadar hiasan.

Assalamualaikum. Terima kasih admin jika cerita ini disiarkan. Nama aku Aimi. Ketika aku berumur 23, baru habis diploma, aku telah menaruh hati pada seseorang yang sangat ikhlas.

Bukan kekasih, cuma aku ada menaruh hati padanya yang aku namakan Faris. Dia dah lama menaruh hati pada aku rupanya. Cuma tak pernah beritahu.

Aku pun tak pernah layan bila dia mesej sekali sekala dulu. Cuma satu hari tu dia meluahkan rasa hati dan aku tahu dia ikhlas. Kerana dia bukan minta menjadi kekasih, tapi dia beritahu bahawa dia sedang berkerja keras demi segera menghalalkan aku.

Dan usahanya, aku nampak. Ia sedikit sebanyak membuatkan hati aku tersentuh dan terusik. Sikit sikit, aku mula balas mesejnya. Sekadar mesej, sekadar dalam telefon.

Kami tak pernah keluar bersama demi menjaga batas. Lagipun kami hanya berkawan, hanya mesej jarang jarang bertanya khabar.

Pada satu hari, entah kenapa hati aku tiba tiba rasa gelisah dan aku rasa berdosa kerana mula ada rasa sayang pada seseorang yang tiada ikatan.

Tiba tiba aku rasa sangat takut. Takut perasaan itu akan menjadikan aku seorang yang leka dan lalai dengan perasaan. Entah kenapa aku menangis malam itu kerana rasa berdosanya aku.

Yelah bila dah mula rasa sayang, sikit sebanyak wujud perasaan nak bersama dengannya. Nak berborak selalu, nak berjumpa, aku takut.

Aku terfikir, andai kata dia bukan jodoh aku, pasti akan lebih sakit jika dah terlalu menyayangi. Jadi sebelum ia makin parah, aku telah memutuskan untuk tidak lagi berhubung dengannya.

Aku kata padanya, aku nak perbaiki diri, muhasabah diri semula. Sesungguhnya aku rasa berdosa dengan perasaan ini.

Aku kata lagi, “andai benar ada jodoh kita, satu hari nanti pasti Allah satukan kita. Nanti dah cukup semua, dah sedia, datanglah rumah, jumpa mak ayah.” Dia akur. Baiknya dia..

Sepanjang kami tidak berhubung, hati aku rasa lebih tenang. Pun begitu, aku selalu berdoa agar Allah beri yang terbaik buat kami.

Genap seminggu kami tidak berhubung, ada sepasang pakcik makcik datang ke rumah aku. Aku pernah nampak mereka, tak silap aku mereka orang kampung sebelah.

Selepas kuhidangkan air, aku diminta untuk masuk ke bilik. Lama mereka berborak, akhirnya pulang. Lepas mereka pulang, mak beritahu aku, kedatangan mereka adalah untuk meminang aku untuk anaknya yang mana langsung tak ku kenali.

Sedikit details tentang anak pakcik tu diberitahu kepada aku, katanya namanya Zariq, berumur 28 tahun ketika itu (5 tahun tua daripada aku). Ekonominya sudah stabil, sudah ada kereta sendiri, dan seorang bisnesman, mempunyai peniagaan sendiri yang sudah stabil. Seorang bekas pelajar sekolah agama.

Katanya lagi, Zariq bukanlah seorang yang kacak paras rupa, biasa biasa saja. Mak kata, mak kenal dengan pakcik makcik tu, memang orang baik baik. Tapi anaknya tak tahulah kan. Setelah mendengar semua, Aku minta masa untuk buat keputusan.

Istikharah. Itulah yang pertama. Hanya Allah yang maha tahu. Aku buat istikharah berhari hari. Aku luang masa yang begitu lama atas sejadah, mohon agar Allah beri yang terbaik.

Aku wasap Faris beritahu apa yang berlaku, dia tanya adakah aku terima, aku jawab belum lagi. Kata dia lagi, ambillah masa, buat keputusan sebaiknya. Akhirnya setelah beberapa hari, lamaran itu aku terima sebelum aku melihat tuannya lagi.

Entah, susah nak ku gambarkan perasaan tu, kuat hati aku rasa untuk terima. Perasaan pada Faris hilang begitu saja ketika itu.

Aku mula fikir, adakah ini sebabnya Allah hadirkan rasa bersalah dalam diri aku secara tiba tiba hingga menyebabkan aku berhenti untuk berhubung? Dan perasaan aku makin lama rasa yakin sungguh untuk aku terima walaupun belum lihat lagi empunya diri.

Bila dah terima, pihak mereka datang ke rumah bersama dengan Zariq untuk perbincangan tarikh tunang. Aku tak keluar bilik pun. Keluar hantar air je. Tu pun ketar tangan.

Masa hantar air, aku mbil peluang pandang Zariq. Tapi dia alihkan pandangan ke tempat lain. Malu mungkin. Jadi aku hanya nampak mukanya dari tepi saja.

Ya, biasa saja paras rupa nya. Jika nak bandingkan dengan Faris, Faris lebih elok paras rupa. Tapi bukan itu yang dipandang. Kemudian aku masuk bilik dengan tenang. Tenang sungguh perasaan aku. Akhirnya, tarikh pertunangan ditetapkan seminggu kemudian.

Aku wasap Faris, beritahu apa yang berlaku. Dia kata dia redha. Dia kata mungkin aku memang bukan untuk dia. Kalau ini yang terbaik, dia terima. Kami kan hanya berkawan, bila dah tiada jodoh, dia terima saja. Hakikatnya aku tahu dia kecewa.

Aku minta maaf atas segala yang berlaku. Dia kata tak apa, semua ketentuan Allah. Maka harinya tiba, aku pun sah menjadi tunangan orang. Dan tarikh nikah ditetapkan pada 6 bulan akan datang.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari..

Awal pertunangan segalanya baik baik saja. Masuk minggu ke dua, punah. Perasaan aku pada Faris tiba tiba membuak dengan jayanya. Meluap luap perasaan itu hingga tak tertanggung rasanya.

Aku cari Faris semula dan katakan apa aku rasa. Aku salahkan dia kerana tak fight pun untuk aku.

Tak pujuk pun supaya tak terima pinangan. Dia tanya jadi apa yang aku nak sebenarnya. Andai kata nak putuskan tunang Zariq, Faris kata dia berani jumpa mak ayah aku. Kenapa sekarang? kenapa tak dari dulu kau fight.

Faris mungkin berani, tapi untuk buat begitu sesungguhnya aku yang tak berani. Elok elok dah terima pinangan orang, elok elok dah tunang, tiba tiba taknak pulak. Padahal aku ambil masa seminggu sebelum buat keputusan untuk terima.

Aku dah istikharah. Dah terima dengan tenang. Dah kenapa dengan aku?

Aku mula jadi seorang yang hilang arah. Macam orang takde iman. Perasaan tenang pada Zariq, mula bertukar menjadi satu perasaan yang amat benci. Tanpa sebab. Maka mulalah episod air mata.

Hari hari aku menangis, menyesali apa yang berlaku. Lemahnya iman.

Zariq aku memang tak layan dengan baik. Adakala dia mesej untuk kenal diri masing masing serba sedikit, tapi aku rasa menyampahnya. Aku tak layan. Lalu aku istikharah berterusan lagi dan lagi.

Minta supaya Allah tunjuk yang terbaik. Sakit sungguh rasanya bila tak dapat bersama orang yang kita sayang. Kosong sungguh hati aku tika itu. Dan ia berlarutan dari hari ke hari..

Aku menjadi tidak redha atas apa yang berlaku sedangkan akulah yang buat keputusan dulu tanpa mana mana paksaan.

Lagi sebulan tarikh nikah, sesungguhnya perasaan aku tak tertanggung. Terikat dengan seseorang yang kau tak punya rasa. Sedangkan hati kau dengan yang lain, sungguh amat sakit kerana semua terpaksa pendam sendiri.

Lalu akhirnya, aku luahkan pada mak. Berterus terang bahawa aku tidak kuat lagi.

Aku tak mahu meneruskan lagi. Cukuplah sampai sini. Tapi kata mak,

“Bila dah istikharah, dah buat keputusan dengan tenang dan yakin, apa yang datang seterusnya adalah ujian. Ini semua ujian. Syaiitan tak suka tengok orang bina masjid.. Aimi kena kuat. Jangan ikut hati.”

Bercucuran air mata laju je depan mak. Teruk sungguh aku. Hari pernikahan tak lama lagi, namun tiada rasa excited dalam hati aku. Aku berperang dengan perasaan aku sendiri. Tiada rasa debaran.

Yang rasa hanyalah perasaan takut, Bahagiakah nanti? Mampukah aku sayang dia? Zariq memang aku tidak layan. Aku tak berminat. Aku benci. Tapi dia? baik baik saja. Bagai tiada perasaan saja. Telan saja bulat bulat sikap aku.

Aku malas nak fikir. 6 bulan pertunangan adalah tempoh di mana aku menjadi seorang yang aku sendiri tak kenal.

Hari hari mata bengkak, hari hari menangis entah kerana apa. Yang penting aku benar benar rasa sakit. Setiap hari menangis atas sejadah, mohon Allah tunjuk yang terbaik.

Aku tertanya tanya, kenapa jadi begini? Kenapa bila dah bertunang baru rasa ini hadir? Kenapa? Kenapa tiba tiba aku benci pada tunang aku? Macam mana nk bina masjid dengan orang yang kau benci? Nak sebut nama pun menyampah sangat rasanya.

Pasti aku tak bahagia nanti, bisik hati aku. Aku tak kuat ya Allah. Dah cakap kat mak, tapi mak kata teruskan. Tiada siapa faham aku. Aku pasrah..

Hari berganti hari, akhirnya harinya tiba. Malam sebelum menikah, aku mesej Faris lagi sekali untuk yang terakhir kalinya. Mohon seribu kemaafan atas apa yang berlaku.

Aku tak berniat menyakiti dia. Kini aku berserah. Aku minta dia doakan yang terbaik untuk aku. Aku juga akan buat perkara sama. Balasnya, ini adalah satu jalan yang Allah dah tetapkan. Sekuat mana kita genggam jika bukan milik kita, pasti terlepas jua.

Dia maafkan aku dan ucap selamat pengantin baru. Aku menangis. Maafkan aku. Faris dah membawa diri pulang ke kampung 2 hari sebelum hari pernikahanku.

Malam tu aku bertafakur atas sejadah. Mohon sekali lagi pada Allah, andai benar ini yang terbaik, permudahkanlah.

Sesungguhnya aku berserah sepenuhnya kepadaMu kerana insan ini langsung tak ku kenal ya Allah. Insan yang tak pernah kenal tiba tiba hadir bersama pinangan, pasti ada hikmah disebaliknya. Bantu aku ya Allah, bantu aku mengecapi bahagia.

Pasti ada bahagia di depan sana. Buanglah perasaan benci ini wahai Allah. Malam itu, seorang kawan baik menghantar mesej sepotong ayat al-Quran kepada aku yang berbunyi,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedang ia amat baik bagimu. Dan boleh pula kamu menyukai sesuatu, sedangkan ia amat buruk bagimu. Allah maha mengetahui, sedangkan kamu tidak.”

Aku bagaikan tersedar, sesungguhnya pasti Allah sudah merancang sesuatu yang lebih baik untuk aku. Aku pujuk hati untuk redha.

Keesokan harinya. Setibanya di masjid, dari luar ku lihat Zariq berbaju putih dah bersedia di hadapan tok kadi. Aku tarik nafas panjang, lepas. Kaki melangkah masuk, dalam hati, bismillah. Semoga ini yang terbaik.

Aku tawakkal kepadaMu ya Allah. Aku berserah seluruh kehidupanku kepadaMu Allah. Jadikan aku yang terbaik untuknya, jadikan dia yang terbaik untukku. Akhirnya, Zariq pun melafazkan.. “Aku terima nikahnya…”

Tak ku sangka, sekelip mata dah menjadi seorang isteri. Spontan terus keluar air mata tiada henti. Tak tahu kerana apa. Gembirakah? Sedihkah? Sebakkah? Semua bercampur baur. Tatkala di suruh bersalaman, timbul satu perasaan yang amat syahdu dalam hati.

Inilah suamiku. Inilah jodohku yang Allah dah tetapkan. Inilah syurgaku. Lantas tangan suamiku memengang ubun ubunku, berdoa memohon kebaikan untuk aku dan kami berdua. Tiada adegan cium dahi kerana perasaan malu yang masih menebal.

Setelah bernikah, hanya 3 hari saja yang aku perlukan untuk aku mula jatuh cinta padanya. Indah sungguh bila kita jatuh cinta pada suami sendiri.

Lepas kahwin barulah kami saling mengenali. Macam macam nak tanya. Yelah sebab sebelum ni memang tak pernah kenal dan tak pernah jumpa.

Aku tanya macam mana boleh masuk meminang aku. Rupanya mak dia yang berkenan dengan aku sebab selalu tengok aku beli barang kat kedai runcit. Dia ikutkan saja. Sakit yang dulu hilang begitu sahaja.

Sedarlah aku, hadirnya Faris adalah satu ujian buat aku. Dan segala perih yang kurasa ketika tunang, kini semua hilang tidak bersisa.

Faris baik, tapi mungkin bukan yang terbaik untuk aku. Aku juga telah minta maaf kepada Zariq atas sikap aku sepanjang tempoh pertunangan. Dan aku ceritakan apa yang berlaku dari A sampai Z. Dia kata tak apa, tak ambil hati pun, itu juga satu ujian buat dia.

Jadi dia kena kuat sebab tahu ini bisikan syaiitan yang mahu membatalkan hasrat kita untuk bina masjid. Allah.

Lepas nikah kami sama sama buat solat taubat. Mohon ampun kalau kalau ada terbuat dosa sepanjang sebelum bergelar suami isteri. Sebab tak mahu dosa itu menjadi asbab rumahtangga tak bahagia. Tak lama kemudian, aku di bawa mengerjakan umrah bersamanya.

Bahagia sungguh perasaannya berada di tanah suci bersama kekasih halal. Ketika di Jabal Rahmah (tempat pertemuan Adam dan Hawa), Zariq bantu aku naik jabal rahmah dan ketika di atas, Zariq kata,

“Dulu setiap kali abang datang sini, abang selalu doa semoga Allah berikan jodoh yang baik buat abang. Harini, abang datang bersama jodoh abang.”

Dia senyum memandang aku. Sejuk sungguh hati aku. Berkaca mata aku, terharu. Kini, dah 7 tahun usia perkahwinan kami bersama 2 orang cahaya mata.

(Kami diuji dengan ketiadaan anak selama 3 tahun sebelum dapat anak sulung. Mungkin Allah beri masa untuk kami saling mengenali dan dating.) Alhamdulillah, sakit dulu diganti dengan kebahagiaan.

Cantiknya aturan Allah buat kita. Faris pun kini dah berumahtangga bersama gadis pilihannya dan mereka juga telah dikurniakan 4 orang anak yang comel comel. Alhamdulillah. Semua berakhir dengan baik. Terima kasih Allah atas segala percaturan.

Sekuat mana kita genggam, jika bukan milik kita, pasti akan terlepas juga. Sebaliknya jika sudah tertulis dia buat kita, terpisahlah sejauh mana, pasti akan bersatu jua. Tengoklah, yang tak pernah kenal, yang tak pernah jumpa, tiba tiba jadi suami.

Apapun, Kita merancang, Allah juga merancang, dan Allah lah sebaik baik perancang. Berserah dan tawakkal lah kepada Allah. Letakkan pengharapan dan kebergantungan hanya kepada Allah.

Sesungguhnya setiap aturan Allah itu berhikmah. Perbaiki diri, muhasabah diri, sesungguhnya jodoh itu cerminan diri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah.

Reaksi warganet

Aza Samat –
Sekuat mana kita genggam, cantik lagi perancangan Allah. Pengalaman yang menarik, hampir sama dengan saya. Doakan kami dikurniakan zuriat pertama. 5 tahun dah kami menanti.

Nursyilah Taslim –
Terima kasih, cerita yang memberi inspirasi. Yang paling penting semuanya bersandarkan kepada Allah. Semoga jodoh panjang hingga ke jannah.

Aimi syahira Tajuddin –
Apa yang sama dengan saya?

1. Nama samaran confessor, nama sebenar Saya.

2. Saya habis diploma Pon lebih kurang Umur ‘Aimi’

3. Saya kenal suami Saya Pon melalui mak mak kami, family arrangement jugak laa kami kawen.

4. Mak Saya Pon pernah bagi pesanan macam mak ‘Aimi’ : “syaiitan Tak suka orang bina masjid”

5. Dapat baby sulung pon pada tahun ke3 perkahwinan. Alhamdulillah, sekarang baby tu dah Umur 10tahun dah.

Siapa cakap perkahwinan yang dikenenkan mak mak Kita Tak bahagia? Bila mak cakap nak kenalkan dengan anak kawan mak, Kita try laa kenal dulu. Kalau tak suka, cakap ja tak suka. Kalau suka, teruskan laa inshaaAllah bahagia.

Sumber– Aimi (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *