Akibat lama sgt bujang, mlm je isteri peluk ketat2 minta maaf. Kdg2 xtahu nak buat apa kalo bini mcm tu.

Foto sekadar hiasan : Perkahwinan telah merubah kehidupan saya. Terlalu banyak rutin hidup berubah dengan drastik tanpa persediaan mental dan fizikal.

Apabila sudah merasai sendiri fasa perubahan hidup dari bujang ke alam perkahwinan, baru saya sedar bahawa tiada apa-apa persediaan awal yang boleh mempersiapkan diri saya untuk merasai pengalaman sebenar alam perkahwinan.

Bacalah sebanyak mana buku panduan, mintalah sebanyak mana nasihat-nasihat, namun ternyata pengalaman sebenar memang memberi cabaran berat pada diri saya terutamanya penyesuaian diri dengan perubahan persekitaran dan cara hidup.

Jodoh saya tiba sedikit lewat berbanding rakan-rakan sebaya. Boleh dikatakan saya terlebih “enjoy” dengan kehidupan bujang yang panjang.

Dari ramai sahabat bujang, hingga saya tiada lagi teman untuk berlibur kerana masing-masing mempunyai komitmen keluarga. Hari-hari saya menjadi lebih sunyi dan saya banyak menghabiskan masa pada komitmen kerjaya sahaja.

Saya menjadi “self-centred”, tidak lagi menghadiri majlis-majlis keramaian, mengelak menghadiri majlis reuinion, tidak lagi berlegar-legar di mall dan lebih suka berada di rumah sendiri, membuat perkara-perkara sendiri berseorangan sambil memelihara kucing kesayangan.

Keluarga besar semuanya jauh di kampung halaman. Sesekali berhubung dan pulang ke kampung, berhibur dengan ibu bapa, adik beradik dan anak-anak saudara.

Jika ada kelapangan, saya akan travel seorang diri sama ada dalam negara atau luar negara. Sosial circle saya secara fizikal cuma di tempat kerja.

Selebihnya di social media kerana ramai sahabat-sahabat juga begitu. Mereka tahu saya masih hidup, dan saya tahu mereka sihat hanya dengan merujuk socmed masing-masing. Alhamdulillah. Hidup saya sunyi, tapi happy seadanya.

Soalan lazim yang paling menghantui saya satu ketika dahulu adalah “bila nak kahwin?”. Saya rasa banyak lagi insan lain juga yang penat dengan soalan itu.

Kepada mereka yang masih bujang, saya doakan agar kalian kekal sabar dengan orang yang bertanyakan soalan itu buat kalian. Pedih memang pedih, tapi sabar itu perlu.

Langkah saya ke alam perkahwinan bukanlah berlaku secara tiba-tiba. Saya mengambil masa yang agak panjang untuk membuka pintu hati dan mengungkap perkataan “Ya” kepada cadangan seorang sahabat baik saya yang ingin memperkenalkan saya dengan saudara keluarganya.

Dua tahun saya “ghost” kan mesej sahabat saya itu yang mengandungi butiran ringkas mengenai calon teman wanita yang ingin beliau perkenalkan. Saya tidak membalas atau bertanya apa-apa berkenaan mesej itu kepada beliau.

Tapi hakikatnya, saya membuat pelbagai carian untuk mengetahui latar belakang calon itu tanpa pengetahuan sesiapa hatta keluarga sendiri. Tak banyak info yang saya dapat kerana calon ini bukanlah seorang yang aktif di socmed.

Tetapi dengan sedikit info yang saya dapat itu, sedikit demi sedikit juga telah mengukir bunga di hati saya. Pendek kata, adalah angan-angan yang boleh dibawa ke alam mimpi di malam hari. Saya jatuh hati diam-diam, malu-malu, tersipu-sipu tanpa siapa tahu.

Walau bagaimanapun, sahabat saya pula, tidak pernah sekalipun beliau membuat follow-up tentang cadangan beliau pada saya. Mungkin kerana beliau fikir saya jual mahal dan tidak sudi.

Bercerita mengenai pujaan hati secara terbuka kepada sesiapa bukanlah cara saya. Walaupun saya seorang yang kelihatan happy-go-lucky, namun saya bukanlah seorang yang terbuka mengenai isi hati, lebih-lebih lagi mengenai teman Wanita atau kisah percintaan.

Saya seorang yang pasif mengenai kisah percintaan. Saya lebih berminat mengenai pengetahuan am, berita semasa, politik dan kisah sejarah. Saya seorang yang membosankan dan membingungkan.

Saya sebenarnya menunggu-nunggu sahabat untuk kembali membuat follow-up, dan saya ingin mengatakan “Ya” kepada perlawaan beliau.

Tapi itulah, tunggu punya tunggu, dua tahun juga. Yang peliknya, kami masih meriah di socmed berborak dan bergurau, tapi sekalipun tidak menyentuh isu mesej beliau. Berat betul mulut saya.

Satu hari pada hari Wukuf yang sedang berlangsung, saya telah memanjatkan doa memohon agar Allah SWT membulatkan tekad saya untuk menghampiri jodoh, jika memang benar calon itu jodoh saya.

Saya menggandakan doa saya dengan Istiqarah semoga saya sentiasa dipandu ke arah jodoh yang betul dan baik. Doa pada Hari Arafah adalah salah satu masa doa yang mustajab.

Selepas beberapa ketika dari hari saya beriltizam untuk memulakan langkah mencari jodoh, dengan penuh debaran saya membalas mesej yang di “ghost” selama dua tahun.

Berpeluh di dahi, bergetar di jantung, berpinar di kepala saat saya menantikan jawapan daripada sahabat saya samada calon beliau masih available untuk didekati.

Dua tahun bukan satu jangka masa pendek. Mundar mandir saya dalam rumah sambil menguruskan kucing-kucing kesayangan.

Bila sahaja notifikasi mesej sahabat saya menjelma di handphone, saya rasa luruh jantung dan nafas behenti seketika. Keterujaan sahabat saya dalam mesej beliau juga jelas terlihat. Alhamdulillah, saya masih ada peluang.

Segalanya bermula dengan baik. Saya memulakan komunikasi, memperkenalkan diri dan menyatakan hasrat hati untuk berkenalan. Mesej saya dibalas dengan ringkas dan baik oleh calon itu. Hari demi hari komunikasi kami semakin berkembang.

Namun pada satu hari beliau bertanyakan satu soalan dengan saya tentang arah tuju perkenalan yang saya hulurkan. Tiba-tiba saya diuji dengan perasaan was-was.

Pelbagai persoalan timbul difikiran saya. Adakah saya saya telah telah bersedia, telah membuat pilihan yang betul, layakkah saya dengan calon ini ini, adakah saya telah bersedia fizikal dan mental, dan banyak lagi. Lantaran itu, saya menjarakkan diri seketika untuk membuat refleksi diri.

Si calon mencari-cari, saya mendiamkan diri. Saya cuba lapangkan fikiran dan memujuk diri untuk teruskan langkah. Ini cuma mainan musuh ummat manusia.

Saya beristiqarah dan mencari-cari jawapan yang pasti mengenai hala tuju hubungan kami. Tiada petunjuk jelas. Saya makin keliru. Si calon berkali-kali mesej saya meminta kepastian.

Saya abaikan mesej beliau. Berhari-hari malah berminggu. Saya cuba berdiskusi dengan diri sendiri untuk menetapkan pilihan. Tidak mahu jadi lelaki yang “semuanya sama” membiarkan si calon terkontang kanting tanpa jawapan dan pendirian dari saya.

Setelah hampir dua sebulan, kami kembali berkomunikasi dan saya terus menyatakan hasrat untuk bertemu dengan beliau.

Sebelum menyatakan persetujuan untuk berjumpa, beliau meminta kepastian samada saya sudah mendapat jawapan istiqarah saya. Saya menjawab “tidak”.

Saya masih tiada jawapan pasti. Saya menambah, “Mungkin petunjuk saya adalah dalam petunjuk istiqarah awak”. Si calon menghela nafas panjang dan menyatakan “jom kita berjumpa”.

Pertemuan pertama berlangsung dengan lancar di sebuah restoran di tengah bandara. Si calon jelas lebih muda berbanding umur saya.

Masing-masing gugup. Saya yang lebih banyak berbicara. Memang kerana saya suka bercakap barangkali. Si calon pula lebih suka mendengar celoteh gugup orang tua seperti saya.

Setelah itu, kami kembali ke negeri tempat bertugas masing-masing. Dia jauh di zon selatan, saya di zon timur.

Komunikasi kami agak membosankan kerana kami tiada ciri-ciri couple seperti dalam novel. Tiada sweet talk, tiada romantic elements.

Skema dan tersusun seperti buku teks sekolah. Perbualan kebanyakannya akan terarah kepada isu semasa dan masalah kerja serta sedikit mengenai perihal diri masing-masing.

Memandangkan umur yang semakin mendekati tarikh akhir saya, maka saya tak mahu panjang-panjangkan tempoh taaruf yang membosankan ini. Saya minta pada si calon untuk maklumkan pada keluarga beliau mengenai hasrat saya masuk meminang.

Si calon menyatakan sebaiknya saya datang berjumpa keluarga beliau seorang terlebih dahulu sebagai sesi suai kenal. Kami susun tarikh dan saya pun hadir ke rumah ibu bapa beliau.

Saya disambut mesra. Hasrat hati telah saya sampaikan dan kami menyusun tarikh untuk majlis seterusnya. Tiada apa-apa bantahan dari keluarga beliau.

Kami mengikat tali pertunangan selepas dua bulan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk majlis nikah diadakan dalam tempoh 10 bulan.

Pada mulanya beliau meminta tempoh yang lebih pendek, tetapi saya meminta masa persediaan yang mencukupi berdasarkan beberapa perancangan awal yang telah saya susun berkaitan kerjaya dan peribadi.

Lebih kurang sebulan selepas majlis pertunangan kami, negara dikejutkan dengan kebolosan wabak virus Covid-19 dari China dan diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama secara ketat.

Pada masa itu kami terpisah jauh disebabkan komitmen kerjaya masing-masing.

Saya pula terlibat secara langsung sebagai “frontliner” untuk berdepan dengan virus kejam. Fokus saya hanyalah untuk mengharungi tempoh mencabar yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada ketika itu.

Beberapa perancangan peribadi saya telah tertangguh termasuklah niat untuk menikmati moment pertunangan bersama Cik Tunang.

Kesibukan saya telah menyuramkan suasana tempoh pertunangan kami dek kerana komunikasi yang terhad. Kami juga tidak dapat berjumpa langsung selepas majlis tunang.

Apabila berlaku pelanjutan PKP, maka ianya sekaligus menjejaskan perancangan majlis perkahwinan.

Majlis nikah yang sepatutnya berlangsung pada Nov 2020 terpaksa ditunda ke suatu tarikh yang tidak dapat dipastikan. Selagi mana kerajaan melanjutkan tempoh PKP, maka kami juga terpaksa menganjakkan tarikh.

Pertama kali saya terpaksa berhadapan situasi di mana Cik Tunang menangis teresak-esak apabila saya memaklumkan mengenai hasrat untuk menangguhkan majlis sehingga tahun 2021. Keluarga beliau bersetuju, namun Cik Tunang tidak menyenanginya.

Beliau memberi alasan takut saya berubah hati kerana terlalu lama dalam tempoh bertunang selain risau umurnya yang semakin meningkat (padahal saya yang lebih lanjut tua).

Tiap kali kami berbicara di telefon, beliau akan menangis dan sedih. Saya pulak tiada pengalaman dengan situasi emosi sebegini. Saya rasa fikiran saya kusut dan terbeban.

Saya bungkam. Hati saya berbolak balik. Pelbagai perkara bermain di fikiran saya.

Saya perlu membuat pertimbangan mengenai keselamatan dan jumlah kehadiran anggota kedua-dua belah keluarga jika majlis diadakan dalam tempoh virus sedang merebak. Kami masing-masing mempunyai keluarga yang besar dan sangat akrab.

Jadi, saya harus membuat pertimbangan yang sewajarnya tanpa melanggar arahan-arahan PKP semasa. Dalam masa yang sama cuti saya telah dibekukan oleh majikan.

Saya mancaturkan keselamatan ramai pihak apabila membuat keputusan menang-menang untuk mengadakan majlis pada penghujung tahun 2020 ketika kes Covid-19 sedang mencanak naik.

Alhamdulillah, tatkala majlis-majlis lain berbekas dengan virus Covid-19, kami selamat mengharungi tanpa sebarang masalah.

Walaupun jumlah jemputan terpaksa dihadkan kepada keluarga dan teman rapat sahaja, namun kemeriahan majlis tetap teringat-ingat sehingga hari ni. Segala persediaan dibuat secara tergesa-gesa kerana kesuntukan masa.

Kami cuma dapat berjumpa lebih kurang 3 minggu sebelum majlis untuk memilih pakaian, barang hantaran, lokasi majlis dan lain-lain.

Alhamdulilah isteri saya juga dapat berpindah mengikut saya selepas berkahwin. Tidak perlu pjj seperti dalam tempoh bertunang sebelum ini. Selesai penyatuan dua jiwa.

Babak seterusnya yang lebih mendebarkan saya adalah mengharungi kehidupan yang berubah rentak. Dulu semua perkara dilakukan berseorangan. Saya seorang yang berwatak dominan sedangkan isteri saya secara luarannya introvert tetapi mahukan perhatian.

Banyak perbezaan nilai diri yang hanya kami sedari apabila tinggal bersama-sama. Pada awalnya saya banyak hilang sabar apabila kata-kata atau permintaan tidak dituruti. Ianya bukan sahaja menyakitkan emosi isteri saya, malah diri saya sendiri.

Saya jadi bingung dan terpaksa mengubah cara berinteraksi. Pelik apabila isteri saya tiba-tiba tidak mahu bercakap dengan saya. Tidak faham bahasa rajuknya, dan saya mengabaikan perasaannya begitu sahaja.

Lama-lama isteri saya ok sendiri seperti tiada apa-apa. Mungkin dia fikir merugikan emosi sahaja apabila merajuk dengan orang lembab seperti saya.

Kebiasaanya saya tiada masalah dengan pengurusan rumahtangga kerana cuma saya seorang dan kucing-kucing di rumah. Apabila isteri hadir di rumah dan beliau seorang OCD, maka konflik juga wujud di sini.

Segala aturan saya sebelum berkahwin hampir semuanya hendak diubah mengikut sifat OCD isteri saya. Hendak dilarang bimbang berkecil hati, sebaliknya saya pula yang protes secara diam.

Merajuk cara saya. Isteri faham dan berkali-kali memohon maaf kepada saya. Di sini dapat dilihat bagaimana ego seorang lelaki secara umumnya masih sama. Saya juga sama. Sigh!

Kerjaya saya sangat memenatkan dan boleh dikatakan stress juga. Bermacam-macam ragam manusia yang saya perlu hadap setiap hari.

Kadang kala stress itu saya bawa pulang ke rumah. Yang mendapat kesan stress itu juga adalah isteri saya. Apabila saya stress, saya lebih suka mengadap meja makan dan makan sebanyak mungkin untuk release stress itu.

Beban untuk memasak saya lepaskan pada isteri tanpa belas kasihan. Saya cuma order dan minta disediakan seperti mana yang saya inginkan.

Mula-mula isteri saya melayan sahaja, tetapi lama-lama mimik muka mencuka akan keluar juga kerana isteri kepenatan bila pulang kerja dan saya memberi arahan begitu-begini.

Maka episod tidak bercakap akan mula kembali. Saya yang lembab dan pentingkan diri sendiri akan seperti biasa mengabaikan situasi itu.

Buat macam tiada apa-apa yang berlaku. Nanti elok lah tu. (Tapi yang peliknya bila saya ajak makan di luar, dikatakan pula saya tidak suka masakannya. Pening lalat saya).

Saya juga suka menceritakan masalah berkaitan kerja kepada isteri kerana kadang-kadang kami tiada topik untuk bercakap. Pelbagai cerita dan masalah akan saya sampaikan kepada beliau dengan harapan saya akan mendapat sokongan.

Namun sebaliknya isteri saya akan ceramahkan saya pula dengan nasihat-nasihat yang seolah-olah memang saya seorang pencetus masalah dan tidak kompeten semasa kerja.

End-up kami tidak bercakap semula. Saya merajuk. Bila waktu tidur, isteri akan peluk saya ketat-ketat dan memohon maaf. Begitulah acapkali. Isteri lebih caring berbanding suami yang ego tinggi dan terbiasa bujang.

Pernah isteri pulang bekerja menangis kerana masalah kerjanya yang berat. Diceritakan masalahnya pada saya tersesak-esak. Saya menyokong dan membuatnya selesa (unlike her).

Setelah selesai curahan masalah dan juraian airmata, tiba-tiba dikatakan saya tidak faham masalahnya. Saya buntu. Kaum perempuan ini mahu apa sebenarnya dari seorang lelaki?

Menyentuh isu berkaitan shopping pula, saya adalah sejenis yang sudah tahu apa yang ingin dibeli apabila ke pasar/ pasaraya/ mall, jadi saya tidak akan mengambil masa yang lama di premis-premis itu. Manakala isteri pula juga claim serupa dengan saya.

Tetapi itu cuma dusta. Jika ke pasar/ pasaraya/ mall hatta ke kedai runcit sekalipun, memakan masa yang sangat lama.

Saya tidak biasa dengan situasi sebegini. Saya tiada masalah untuk menemani isteri shopping, tetapi membuang masa untuk memilih barang-barang itu meletihkan emosi saya.

Kenapalah barang-barang yang isteri saya mahukan itu ada banyak pilihan? Kalau setiap barang ada satu jenis sahaja kan lebih mudah. Saya lihat ramai juga suami-suami lain seperti saya di mall-mall. Kami patut tubuhkan persatuan sahaja.

Sejak kami berumahtangga, setiap hujung minggu pasti ada jemputan perhimpunan keluarga, rakan-rakan, tempat kerja dan lain-lain. Semasa saya bujang, saya banyak mengabaikan jemputan dengan alasan sibuk dan kepenatan kerja.

Sebenarnya saya cuma ingin mengelak dari pertanyaan-pertanyaan tentang berkahwin. Jadi apabila sudah berkahwin baru saya ada keyakinan untuk menyertai aktiviti sosial keluarga, tempat kerja, rakan-rakan dan masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, sifat introvert isteri menjadi masalah kepada kami. Isteri mengeluh kerana beliau bukan jenis yang pandai bersosial. Apabila saya membawa isteri ke majlis-majlis, suasana seperti isteri seorang yang sombong dan anti sosial.

Ada masa-masa saya terpaksa menegur isteri untuk lebih mesra walaupun nampak fake bagi menjaga hati tuan majlis. Tapi saya tahu isteri bukanlah sombong, cuma tidak biasa bersosial.

Walaupun apa pun keadaan yang berubah selepas perkahwinan ini, saya sangat bersyukur kerana Allah SWT telah memberkati kami dengan seorang anak lelaki yang comel seawal tahun pertama perkahwinan.

Anak yang menyerikan siang malam papa mama dengan rengekan, teriakan, jeritan dan pempers masam. Segala masalah dan kesulitan hidup dibuang ke tepi apabila terlihat wajah comel baby kami.

Cumanya saya lekas sakit pinggang nak uruskan anak yang tengah lasak kerana faktor umur saya yang patutnya umur anak nak masuk univesiti dah.

Sejak perubahan fasa hidup saya, nama-nama dalam doa saya pun bertambah seiring bertambahnya kasih sayang saya pada isteri, anak dan keluarga yang semakin besar. Setiap hari saya berlajar untuk mengungkapkan kata-kata sayang, cinta dan kasih pada semua.

Paling penting saya perlu merendahkan ego dan darah panas saya. Kehidupan saya tidak lagi sama. Saya belajar untuk menjadi lebih positif, romantik, sabar, menjaga kata-kata, berakhlak dan bertanggungjawab.

Saya adalah ketua keluarga yang diamanahkan untuk memakmurkan keluarga saya dengan Islam, iman dan ihsan.

Yang isteri mungkin tidak tahu, saya sangat-sangat bersyukur dianugerahkan beliau sebagai isteri. Segala tanggapan negatif saya tentang institusi perkahwinan telah hilang apabila saya mula mengenali isteri saya dengan lebih mendalam.

Beliau cukup sempurna untuk saya dan zuriat kami. Saya betul-betul jatuh cinta kepada isteri saya. Setiap hari saya angau.

– Abu Angau (Bukan nama sebenar)

Kredit : iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published.