“Aku harap x dilahirkan dlm family ni”. Kwn lain dpt enjoy, ak pula dipaksa ke kem dakwah.

Gambar sekadar hiasan

Hai, nama aku Mukhriz (samaran). Aku dibesarkan dalam keluarga yang sangat tegas dalam agama. Ayah aku seorang ahli tabligh tulen yang menyerahkan hidupnya dalam jemaah.

Bahkan kebanyakan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan mesyuarat dengan kawan-kawan jemaah yang lain. Walaupun ayah aku seorang guru, namun masanya banyak dihabiskan untuk berkhidmat kepada jemaah.

Aku sejak kecil merupakan pelajar terbaik dalam kelas akademik. Sejak dari prasekolah hingga darjah 6, aku sentiasa dapat no 1 ataua top 3 dalam kelas.

Ibuku sangat menitik beratkan prestasi akademik dan akan membantuku memberi semangat ketika aku buntu dalam pelajaran. Semua jalan hidupku ketika masih kecil sangat indah, hingga aku tamat UPSR. Aku dapat 5A, bersama-sama 6 orang kawanku yang lain.

Tapi Ayah aku bertekad untuk hantar aku ke madrasah, belajar kitab di tempt jemaah tabligh. Manakala ibuku pula ingin aku ke MRSM yang juga ada program tahfiz. Mujur ummi berjaya pujuk abah untuk menghantar aku ke MRSM.

Aku mula memasang impian untuk jadi yang terbaik. Abah sedikit kecewa tapi terus menasihati aku untuk menghidupkan program tabligh di situ.

Ketika di MRSM, aku juga sering mendapat top 10 dalam batch aku, aku menjadi tempat rujukan rakan-rakan dan guru-guru semua menyayangi aku. Aku menjadi lelaki terawal dalam batch aku yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dengan tempoh 2 tahun 3 bulan.

Semakin lama, aku jadi semakin bersemangat untuk menunjukkan yang terbaik dan mula memasang impian untuk menjadi doktor, antara cita-citaku.

Namun segalanya berubah setelah tamat PT3. Ketika ini, ummi dan Abah ditugaskan untuk ke China bagi urusan dakwah tabligh.

Aku diberi kata dua, sama ada tinggal di pusat tahfiz semasa cuti sekolah atau mengikuti kem tabligh dengan kawan ayah aku di dalam Malaysia selama 40 hari. Aku lemas dan tidak tahu untuk memberi jawapan.

Kawan-kawan yang lain mendapat peluang untuk bersama keluarga, dan dapat belajar untuk subjek form 4, tapi aku dipaksa untuk mengikuti kem dakwah.

Di situ aku terpaksa bergaul dengan macam-macam orang, dan aku mula tertekan dengan suasana sekelilingku. Ketika itu, aku mendapat keputusan PT3 juga cemerlang, straight A, hanya 15 orang dalam batch aku.

Semasa di tingkatan 4, hidup aku mula serabut. Aku suka berseorangan. Aku rasa diri aku tidak dihargai, dan suara aku tidak didengari dalam keluarga.

Yang buatkan aku sangat tertekan tentunya, pegangan tabligh ayah aku yang begitu jitu, hingga tiap kali cuti sekolah, aku dipaksa untuk mengikutinya ke kem tabligh.

Masa muda aku tak dapat diluangkan untuk study bersama kawan-kawan lain. Guru-guru mula perasan perubahanku. Kawan-kawan rapatku pun berasa pelik akan kelakuan aneh ku. Aku menjadi sangat sensitif, dan sering demam muntah-muntah ketika di asrama.

Bahkan aku sering diserang asthma, dan dimasukkan ke dalam wad. Aku masih berada di kedudukan atas dalam prestasi akademik namun prestasiku makin merosot.

Di akhir tahun tingkatan 4, cuti sekolah datang lagi. Aku dipaksa untuk mengikuti ayah aku berdakwah di perkampungan orang Asli selama 40 hari.

Abah seorang yang panas baran. Kalau aku, satu-satunya anak lelaki dia tak ikut rentak dia, abah akan jerkah aku, rotan, tampar aku, hentak kepala aku di dinding, dan akan bermuram muka dengan aku.

Ummi selalu bagi warning dekat aku jangan bagi abah marah sebab abah selalu bertindak luar kawalan sebab diabetes dia. Jadi aku pun ikut lah walaupun hati aku dah hancur, masa depan ku hancur. Masa yang sepatutnya aku luang untuk study dihabiskan dengan ikut dia keluar jemaah.

Waktu tingkatan 5, aku kembali ke MRSM selepas cuti sekolah. Badan aku letih setelah lebih sebulan ke kem dakwah. Guru-guru semua gosip tentang keadaan aku, dan risau aku jadi gila sebab mereka lihat keadaanku yang serba tidak terurus.

Pertama kali dalam hidupku aku gagal, dalam subjek Matematik Tambahan. Aku dipanggil ke bilik kaunseling, tapi keadaanku masih sama. Aku mula dipandang rendah oleh kawan-kawanku.

Setiap kali aku call ummi aku menangis, aku cakap aku tak tahan duduk asrama. Aku tak ada sokongan dan prestasi aku merosot.

Akhirnya, umi berjaya pujuk abah untuk bawa aku pulang ke rumah ketika bulan Mac, dengan syarat aku kena ikut ayah aku dalam program tablighnya ketika aku lapang.

Aku tiada pilihan, sebab impianku memang dah berkecai sejak aku di tingkatan 4 lagi. Bila aku masuk sekolah harian, classmate baru dan guru-guru terkejut sebab aku pindah dari MRSM, dan di situ aku mula tekad untuk belajar sungguh-sungguh.

Keputusan trial aku dapat 10A 1B, ya add math aku B. Walaupun sedaya upaya aku berusaha tapi akhirnya itu sahaja yang aku mampu. Aku mula dapat sokongan dari kawan-kawan dan guru di sekolah baru. Sekolah menjadi tempat aku luahkan tekanan aku dengan belajar.

Setelah tamat SPM, ayah aku mula menyuruh aku untuk ke kem dakwah dalam tempoh yang lebih lama iaitu 4 bulan berseorangan dengan ahli jemaah yang aku tak kenal. Aku mula rasa yang ayah aku tak suka aku ada di rumah.

Tapi aku kuatkan diri juga, walaupun hati aku meronta tak mahu. Aku selalu teringat warning ummi bagi, jangan bagi abah marah, nanti macam-macam abah boleh buat.

Di saat itu impian aku menjadi doktor musnah sebab abah nak aku sambung bidang agama, supaya aku boleh digelar alim.

Ketika isi borang UPU, aku boleh saja nak isi bidang medic, law, ekonomi yang menjadi minat aku, tapi disebabkan desakan ayah aku, ummi pula cakap aku tak mampu sebab waktu di Mrsm dulu pun aku kecundang sebab stres, umi risau aku tak boleh bawak.

Aku yang tak didedahkan dengan cara isi upu, akhirnya meletakkan pilihan diploma dakwah di unisza sebagai pilihan pertama. Aku tak tahu apa itu matriks, kolej mara dan lain-lain.Aku dah tak kisah waktu tu aku belajar apa yang penting ayah dan ibu aku puas.

Keputusan SPM keluar ketika aku masih dalam kem dakwah aku. Umi tanya aku nak balik ke amik keputusan tapi aku cakap umi ambilkan je la sebab aku waktu tu tak kisah pun aku dapat berapa.

Akhirnya aku dapat tahu aku dapat 9A 2B, Add Math dan Kimia aku B+. Aku dan classmate aku menjadi pelajar paling Cemerlang tahun itu di sekolah dengan mendapat 9A 2B. Umi aku ambil keputusan tu di sekolah.

Balik dari kem, aku mula berfikir untuk sambung belajar. STAM antara pilihan aku, tapi waktu tu semua tawaran untuk belajar STAM dah ditutup.

Ayah aku pula kebetulan mendapat tawaran dari kawannya untuk aku masuk di sebuah IPTS dengan full scholarship. Aku pun belajar asasi pengajian islam dan mendapat keputusan Cemerlang sebelum menyambung pengajian degree dalam pengajian Islam.

Perjalanan degree aku tidaklah begitu mudah. Walaupun aku sentiasa skor dalan subjek, dan menjadi top student dalam kelas, selain aku aktif dalam debat, aku sentiasa dihantui ayah aku.

Ayah aku sanggup datang ke masjid IPTS aku untuk menghidupkan tabligh di situ. Matlamat aku untuk fokus dalam pelajaran terganggu.

Ayah aku selalu menyuruh aku untuk join program tabligh. Katanya hanya itu cara untuk selamatkan iman aku di universiti.

Kalaulah bukan kerana nasihat ummi untuk dengar cakap abah, aku dah lama abaikan. Aku kesiankan umi sebab umi selalu cakap abah marah dia pasal tak berjaya didik anak ikut cara dia.

Aku mula berasa tidak berguna dan kadang-kadang berasa ingin mengakhiri hidup aku, bukan kerana aku lemah tapi kerana aku tak dapat jalan keluar dari ayah aku. Mujur masih ada sedikit harapan kerana Allah hantar aku seorang insan.

Di universiti, aku bertemu dengan kawan baik aku, Hafiz (nama samaran). Dia ambil bidang kaunseling dan cuba untuk memahami apa yang aku lalui.

Kali pertama dalam hidup aku aku rasa suara aku didengari. Aku terkejut kerana kawan aku tidak mengadili aku bila aku cakap aku tak selesa dengan kelakuan abah aku.

Kami luangkan masa bersama-sama dan bincang pasal masa depan. Hafiz menasihati aku untuk ke pakar psikiatri kerana aku mula tak bersemangat untuk ke kelas kerana sakit. Aku selalu sakit kepala dan kadang tak dapat bangun dari katil.

Bulan pertama aku ke psikiatri, aku luahkan segalanya, hingga menangis. Aku mula merasakan aku adalah sesuatu dalam kehidupan yang berhak untuk membuat pilihan dan tidak boleh dikawal oleh manusia lain.

Aku jadi makin kuat untuk bantu diri aku pulih. Pakar mendiagnos aku sebagai Bipolar Disorder Type 2.

Kecelaruan dalam mood yang membuatkan aku ada 2 fasa, suatu fasa hyperaktif dan suatu lagi fasa depresi. Aku diberi ubat untuk tenangkan dan stabilkan mood aku.

Setiap bulan aku tak akan miss temujanji dengan psikiatri aku. Satu persatu masalah aku terungkai dan aku mula mengenal diri.

Hinggalah pada tahun 2020, bila kerajaan umumkan PKP, aku terpaksa pulang ke rumah. Umi dan abah memang tak setuju aku jumpa psikiatri, kerana mereka kata aku sendiri kena ubah diri aku.

Tambahan pakar tu bukan orang Islam. Aku cakap tak ada satu pun dia sentuh bab agama, semua fokus untuk kesihatan aku. Satu hari ubat aku hilang. Bila aku tanya umi rupa-rupanya Abah senyap-senyap buang stok ubat aku.

Semasa di rumah, banyak kali aku termiss temujanji dengan psikiatri, ada sekali ja aku pergi tanpa pengetahuan umi dan abah. Di rumah, aku sekali dilayan dengan tegas oleh abah. Abah pernah paksa aku ke surau waktu PKP walaupun kerajaan tak benarkan.

Abah pernah tampar aku sebab aku cakap macam ni ke perangai orang tabligh, selalu marah-marah. Aku sedar yang aku hanyalah puppet abah aku. Yang perlu ikut apa saja yang dia suruh.

Setelah beberapa bulan rentas daerah dibenarkan, aku balik semula ke uni aku. Disebabkan belajar semua online, aku mula cari kerja yang sesuai.

Akhirnya aku dapat kerja sebagai admin. Sejujurnya aku mana mampu dan tak berpengalaman kerja di samping aku hanya seorang student agama.

Tapi tekad aku untuk tak hidup dengan family aku membuatkan aku teruskan. Aku tak nak bergantung lagi dengan orang yang akan musnahkan impian dan hidupku.

Sepanjang aku hidup seorang diri, aku jarang hubungi ayah aku. Aku rasa tenang sangat, ketenangan yang aku tak dapat sebelum ni. Aku tak perlu lagi dengar jerkahan ayah aku, muka muramnya dan ancaman-ancaman ayah aku.

Aku tak perlu lagi kena pukul dan tampar disebabkan hanya tak ikut cakap dia. Dan aku teruskan jumpa psikiatri sampai sekarang. Umi abah aku pun dah tak kisah aku jumpa psikiatri.

Pertengahan tahun ni, aku tamat belajar dengan mendapat kelas pertama. Di saat ini lah aku sedar, aku belajar suatu yang tak sesuai dengan kelayakan aku. Orang selalu cakap dekat aku belajar agama ni jangan risau rezeki Tuhan uruskan.

Tapi orang tak tahu betapa kecewanya aku tengok kawan-kawan aku yang dulunya kedudukan bawah dari aku di MRSM sekarang boleh sambung ke luar negara. Yang mana masa depan terjamin. Ada yang sambung bidang undang-undang.

Tapi aku dengan keputusan cemerlang aku dalam bidang ni, aku hanya dapat berkhidmat dalam bidang pendidikan. Lepas degree ni pun sampai sekarang aku tak dapat kerja yang sesuai dengan kelayakan aku.

Umi dan abah aku nak aku sambung phd fast track dalam bidang agama, tapi aku dah rasa tak ada jiwa dalam bidang ni.

Jadi aku pun sambung master dalam bidang bisnes, mula bulan september ni. Aku hanya mampu berharap aku punya semangat untuk siapkan proposal phd aku walaupun aku dah tak ada semangat lagi.

Dan abah walaupun jarang berhubung tapi bila aku mula bercakap dengan dia, macam biasa dia akan suruh aku ikut kem dakwah lagi lepas habis belajar.

Tanpa dia sedari dia dah hancurkan bermacam impian aku. Hanya kerana pegangan tabligh jitunya. Hingga aku berharap aku tidak lahir dalam keluargaku yang ini. Hingga aku berharap aku dilahirkan dalam keluarga yang tiada kaitan dengan tabligh.

– Mukhriz (Bukan nama sebenar) via iiumc.

Antara komen netizen :

Bint Ishak :

Hidayah milik Allah. Awak belajar agama sebab terpaksa, bukan sebab awak sendiri cintakan agama Dan nak tolong agama Allah. Itu sebabnya awak depress.

Awak belajar dengan niat nak kejar dunia. Tapi awak lupa dunia ini sementara je. Hidup awak Di dunia ni pun tak tahu sampai bila. Kalau ditakdirkan awak dapat sambung medic n cemerlang sekalipun, tapi ditakdirkan nyawa awak tak lama, ke mana saja sijil medic awak Tu boleh bawa awak.

Kejayaan yg sebenar adalah bila awak berjaya di alam yg satu lagi. Alam yg kekal abadi yg awak takkan mati lagi Di dalamnya sampai bila2.
Ayah awak walaupun Cara dia memang Salah sebab kasar,, tapi percayalah niat dia sebenarnya nak awak berjaya Dan bahagia di SANA.

Itulah kejayaan yg hakiki, Yang awak langsung tak nampak. Awak cuma nampak kejayaan yg sebentar Di dunia ni saja.

Nomy Asri :

It’s never too late. Kuatkan azam dan find a positive circle, positive environment. Awak tak pernah gagal. Semua yang berlaku sebelum ni ada hikmah. Inshaa Allah andai awak jadi bapa suatu masa nanti, kutiplah hikmahnya. Jangan ulangi apa yang tak betul.

Setiap yang berlaku, bukan sia². Semua ada hikmahnya. Percaya pada aturan Allah dan usaha untuk majukan diri. Jangan berhenti dan mengalah.

Selamat maju jaya dik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *