Dlu ditinggalkan,bila kami dah besar, terhegeh2 ayah cari kami semata mata nk benda tu je.

Foto sekadar hiasan : Terima kasih admin kerana sudi siarkan luahan hati ini. Dah tak tertahan memendam dan pura-pura tiada perasaan. Apa saja kecaman dan tohmahan netizen, akan diterima sebaiknya sebab aku tahu aku memang berdosa.

Tajuk 1001 rasa anak derhaka dah cukup untuk menerangkan apa yang aku nak luahkan kat sini. Ya, aku lah anak derhaka tu.

Aku tak nak cerita latar belakang aku secara terperinci. Cukup lah aku katakan yang aku adalah anak dari keluarga yang berpecah belah. Mak ayah bercerai dari masa aku sekolah rendah lagi sebab ayah nak kahwin dengan perempuan lain.

Sejak bercerai dengan mak, jarang sangat aku jumpa ayah dan berinteraksi dengan dia. Aku sekolah asrama dari tingkatan 1 sehingga 5 dan sambung belajar sampai universiti di berlainan negeri. Makna kata, aku jarang berada di kampung halaman.

Dulu aku tak ada telefon mudah alih untuk “voice call” atau “video call”. Aku pakai “public phone” untuk bertanya khabar. Selalu aku telefon mak lah dari ayah. Sebab apa? Sebab mak yang jaga aku lepas bercerai.

Masa sekolah dulu aku ada juga telefon ayah, tapi dia macam nak tak nak layan aku. “Cut story short”, macam aku je yang terhegeh-hegeh nak perhatian ayah.

Sepanjang aku belajar, ayah tak pernah ambil berat atau uruskan hidup aku. Semua nya mak yang buat seorang diri. 100% ayah serahkan urusan anak-anak kepada mak aku.

Mak itu, mak ini, segala-galanya mak. Dah biasa hidup aku hanya ada mak saja di mata. Secara tak langsung, aku dah terbiasa berdikari dan buat sendiri semua benda sebab tak nak susahkan mak.

Kalau ada yang bertanya hal nafkah anak, ayah memang ada bagi setelah mak aku naik turun mahkamah menuntut. Aku rasa, masa aku baru nak masuk U baru tuntutan mak aku berjaya dan selesai. Aku tak pasti samada aku sempat dibiayai ayah.

Yang pasti, zaman adik-adik aku bersekolah dah kira kewangan tak sempit macam masa aku bersekolah. Tapi tak mewah mana pun, sebab ayah hanya mampu bagi dalam RM300 je sebulan.

Masa aku masuk belajar U pun mak tak dapat nak bagi duit poket lebih. Aku hanya bergantung penuh pada duit PTPTN dan duit tabung yang aku simpan dari kecik. Masuk la segala program U untuk dapat duit elaun lebih.

Dipendekkan cerita, aku tamat belajar dan dapat kerja di syarikat swasta. Kerja aku ni agak mencabar bagi seorang wanita. Cukup untuk buat mak aku rasa gembira walaupun dia risau sebab aku tak pernah nak mohon kerja kerajaan.

Bagi mak aku, kerja dengan kerajaan tu masa depan terjamin dan banyak kelebihan walaupun gaji kerja swasta banyak berkepuk.

Berbalik pada cerita bila aku dah mula kerja, baru lah ayah aku cari untuk beramah mesra. Tapi aku tak tahu nak bagi riaksi apa. Rasa canggung. Dicanang-canang nya satu kampung yang anak dia kerja sekian sekian. Adik-adik pun belajar elok dengan cemerlang.

Tu pun sebab kawan-kawan mak cerita kepada mak aku yang ayah seronok sangat ada anak-anak macam kami. Lupa pula nak bagitahu yang ayah + bininya dan mak aku duduk sekampung.

Apa saja cerita pasal ayah mesti mak akan tahu, dan apa saja cerita pasal mak dan aku serta adik-adik mesti ayah tahu dari kawan-kawan mak; makcik pakcik bawang.

Sejak aku bekerja, kewangan keluarga dah agak selesa. Memang aku tak berkira untuk berbelanja. Apa saja mak nak beli kalau aku ada, mesti aku akan bayarkan tak kira harga. Apa saja kami nak makan, kami pergi je makan. Kemana saja mak aku nak pergi jalan, aku akan bawakkan.

Bahagianya kehidupan kami (aku, adik-adik dan mak) masa tu. Adik pun ada yang mula bekerja. Ayah mula rajin hubungi kami adik-beradik.

Mak dan ayah ada saja berjumpa di kampung, dan mak aku ada cerita yang ayah aku tak puas hati dekat mak; kenapa aku dan adik-adik tak pernah nak balas mesej dia atau tanya khabar dia balik. Mungkin dia makan hati tengok kami semua boleh hidup dan bahagia tanpa dia.

Sampai lah satu ketika, Allah telah menetapkan mak aku pulang ke tempat abadi. Mak meninggalkan kami secara tiba-tiba. Hari pengebumian mak, ayah ada datang. Dalam masa seminggu selepas itu pun, ayah ada datang ke rumah menjenguk kami adik beradik.

Masa tu, habis segala luahan hati ayah pasal mak aku. Ayah bagitahu kenapa dia ambil keputusan untuk kahwin lain dan tinggalkan kami semua. Hati aku masa tu berbelah bagi.

Perasaan sedih sebab mak dah tak ada dan rasa nak marah pasal ayah ungkit segala kisah hidup dia dengan mak. Tapi aku hanya diam mendengar sebab tak ada tenaga dan rasa untuk berbahas.

Aku mengaku, mak aku memang lantang bersuara dan ayah pulak tak kurang hebatnya juga dengan suka naik angin bila ditegur.

Dari pengetahuan dan pengamatan aku, mak aku hanya nak mempertahankan hak sebagai seorang isteri dan ayah aku pulak seorang anak yang sangat bertanggungjawab keatas keluarga dia (keluarga belah ayah).

Sebab itu aku sangat takut untuk berkahwin sampai sekarang. Faktor kewangan, campur tangan keluarga, cara pemikiran serta sikap semua nya kunci rumahtangga yang harmoni. Aku dah nampak dan lalui semua tu.

Berbalik cerita kepada ayah aku, dia mula cakna pasal aku dan adik-adik lepas mak meninggal. Aku dan adik-adik menerima dengan hati yang terbuka dengan kunjungan ayah pada mulanya.

Setelah beberapa kali berjumpa, baru lah kami tahu yang ayah di dalam proses untuk bercerai dengan bini dia masa tu. Terkejut aku dan adik-adik. Bukan main cerita dia hidup bahagia setelah berpisah dengan arwah mak. Tup tup nak bercerai pulak.

Kejadian bini ayah lari dari rumah ikut lelaki lain berlaku setelah ayah aku baru saja dapat duit pencen. Aku malas nak cerita dengan mendalam pasal hal ni. Sebab ini apa yang ayah aku bagitahu saja. Sahih atau tidak aku malas nak ambil peduli.

Maka sejak itu, lagi kerap ayah aku menghubungi aku dan adik-adik. Mungkin kerana rungsing atau nak cari tempat untuk meluahkan perasaan. Sampai satu hari, ayah bawa anak-anak dari hasil perkahwinan kedua dia kerumah untuk dirapat-rapatkan dengan kami.

Adik aku memang tak setuju dan mengamuk pada masa dan ketika tu juga. Mereka memang tak suka. Aku tak ada masa kejadian tu berlaku.

Jadi ayah telefon aku dan ceritakan betapa adik-adik aku sangat tidak menghormatinya dan menghalau ayah aku dan anak-anaknya balik.

Aku hanya diam mendengar. Selepas itu, hubungan adik-adik dan ayah memang tak baik. Hanya dengan aku sahaja ayah berhubung.

Di satu hari yang bersejarah, aku dapat pesanan “whatsapp” dari makcik belah ayah aku yang menegur aku dan adik-adik tidak ambil peduli kebajikan ayah dan bersikap biadab.

(Wah wah wah… tiberrr. Bertahun tak jumpa dan tak pernah pun nak tanya khabar anak saudara dia selama hari ni).

Aku tak heran dan aku hanya bagi “blue tick” tidak membalas. Malas untuk panjangkan drama walaupun hati aku direntap-rentap dan terhiris.

Pintu hati yang mula nak menerima figura seorang ayah kembali tertutup. Apa sajalah yang ayah cerita buruk pasal kami kepada orang lain.

Makan hati aku dalam diam.

Aku sorok perihal mesej berkenaan dan tak bagitahu langsung kepada adik-adik aku. Sebab pada aku, tu hanya akan buat mereka lagi marah dan membenci ayah.

Aku juga bermain dengan perasaan aku sendiri dimana kadang-kadang aku rasa marah, sedih, kecewa, cemburu, benci dan “longing”.

Susah aku nak cerita apa yang aku rasa. Aku hanya berdoa semoga hati aku tenang dan diberikan kekuatan. Besar tanggungjawab aku sebagai seorang kakak yang ingin menjaga hati adik-adik dan juga ayah sendiri.

Masing-masing terluka dan melukai dalam tidar sedar. Di dalam kemelut yang dibawa hari ke hari, aku sekali lagi menerima panggilan daripada ayah.

Ayah mintak sejumlah duit dari aku untuk memulakan perniagaan. Puluh ribu. Aku ada duit sebanyak itu, malah lebih pun aku boleh bagi.

Tapi sengaja aku bersoal jawab dengan ayah kenapa tak minta saja pada adik -beradik dia (makcik pakcik aku belah ayah, yang kaya-kaya & berhati mulia). Ayah kata, adik-adik dia semua jawab tak ada duit dan punya komitmen bulanan yang tinggi.

Puas ayah pujuk aku minta pinjam dulu buat modal katanya, bila untung baru dia bayar semula. Oleh kerana tutur kata ayah yang tak pernah aku dengar selembut dan terdesak begitu, aku mula kesian.

Dalam beberapa detik ketika hati dan mulut aku nak buat keputusan nak bagi pinjam, terluncur di mulut ayah bahawa anak-anaknya mungkin tidak dapat sambung belajar sekiranya ayah tak jana pendapatan dari perniagaan berkenaan.

Tekannya lagi, “kesian kan lah adik-adik kamu ni. Diorang tetaplah adik kamu walaupun lain emak, diorang anak ayah. Hancur masa depan kalau tak sekolah”. Tambah nya lagi, duit pencen tak cukup untuk menanggung perbelanjaan mereka.

Makan pakai semua tak cukup. “Kalau ayah tak jaga, siapa lagi yang nak jaga adik-adik kamu ni?” Ayat keramat ayah buat aku tersentak dari lamunan perasaan kasihan. Ayah tak pernah hairan pun pasal aku sekolah atau tak. Tak pernah kesah pun makan pakai aku.

Terbayang di saat ayah dengan yakin melangkah keluar rumah mak tanpa menoleh aku dan adik-adik yang masih kecik. Meninggalkan kami dengan harapan menggunung dapat hidup dengan insan yang mampu membahagiakan dia dunia akhirat.

Kenapa ayah tak pernah membela nasib aku seperti dia membela nasib anak-anak dia yang itu? Aku ni siapa pada dia? Aku ni apa???? Masa tu, aku rasa macam dihempap runtuhan langit, terkapai -kapai ditelan ombak, macam berjalan di jalan yang tak berpenghujung.

Berat. Hilang. Letih. Dengan nafas yang panjang, aku hanya cakap yang aku tak mampu nak tolong dia. Suara ayah dari lembut bertukar tegang seakan marah. Puas dia pujuk namun aku tetap dengan keputusan aku.

Akhirnya, terhambur juga amarah ayah oleh kerana tak berjaya memujuk aku. Dikatanya aku berdendam dan tak berperikemanusiaan.

Dimarahnya aku sepuas hatinya. Aku hanya diam. Sebab aku tahu, kalau aku menjawab maka keluarlah segala kata-kata yang akan mengguris perasaan ayah. Aku masih lagi kenang jasa baik dan gelak tawa bersama ayah yang makin hilang dari ingatan.

Aku letak telefon dan cuba jalankan rutin harian seperti biasa. Aku cuba lupakan perbualan aku dan ayah. Aku sibukkan diri dengan bermacam benda.

Sekiranya mak ada lagi, maka dapatlah mak menyaksikan kemusnahan hidup ayah yang terduduk hilang segala-galanya di kala senja.

Tiada ucapan raya dan kunjungan mesra dari ayah. Marahnya belum pudar mungkin juga membenci anak derhaka ni. Tiada daya untuk merasa seribu satu rasa lagi buat masa sekarang, aku hanya mampu berdoa semoga Allah permudahkan jalan hidup ayah.

Berilah kebahagian kepada ayah sepertimana yang ayah inginkan. Aku berharap sangat ayah bahagia tanpa anak derhaka seperti aku. Sampai disini saja cerita pasal anak yang derhaka kepada ayahnya. Mintak maaf, aku tak pandai nak mengarang.

Tulisan aku caca marba dek kerana dibuai perasaan. Aku cuma nak mintak supaya netizen doakan aku sempat memohon ampun daripada ayah. Tu je.

– Lala (Bukan nama sebenar)

Antara komen netizen :

Netizen 1 : Dear Lala.Awak bukan anak derhaka. Saya juga lalui pengalaman yang sama punya Ayah yang derhaka sebab tak jalankan tanggungjawab dia yang sepatutnya sewaktu saya masih kecil.. Bila ayah call bagi tazkirah tanggungjawab seorang anak pada bapanya saya juga hanya diam membisu pastu saya bagi salam dan block nombor dia sampai sekarang… Saya hanya mendoakan dia dalam setiap solat saya sebab hanya itu yang ikhlas saya mampu lakukan. Bukan tanggungjawab saya untuk bantu dia besarkan anak2 dia yang lain… Sama juga dengan awak baik jaga hati dan diri sendiri lagipun awak ada adik2 yg lebih memerlukan memandangkan ibu dah tiada.. Jadi sayangku Lala jangan pening2… Tenang2 saja ya… Qowiyy Lillahi Ta’ala Insya Allah Allahhumma Aamiin

Netizen 2 : Sesungguhnya, dia juga bapa derhaka dan bapa tak guna… Move on je sis…spesis manusia mcm ni mmg tak boleh dibuat baik..walau bapa sendiri..dia pergi meninggalkan korang adik beradik demi wanita lain pon dah cukup keji, inikan mencari anak yang dibuang setelah berjaya dalam kehidupan…buang jelah terus bapa tu…nnt dia meninggal, korang adik beradik dtg masa kebumi je..dah habis cerita

Netizen 3 : Lala..its okay. Hanya Allah swt shj yg tahu, apa yg awk rasa dan lakukan ini. Tindakan ni hanya utk mengelak dari kejadian lg buruk berlaku akan dtg. Satu hari, perasaan awk akan rasa lg pulih dari skrg. Emosi dan perasaan ini, utk ajar awk lg kuat utk dugaan akn dtg. Keep strong ye. Kita senasib, cuma sy lg malang sbb ayah kaki pukul dan sesen nafkah takde. Semua pengalaman sy dan mak dipukul dari kecil, sampai skrg sy masih ingat perasaan tu. Setelah mak pergi, perasaan sy ke ayah hanyalah rasa hormat. Untuk berbakti seperti sy berjasa pd emak, sy takmampu utk dia. Ini bukan bermakna sy benci/dendam. Ini hanyalah utk kesihatan mental dan emosi sy. Sy doakan sesape yg ada pengalaman seperti ini dikuatkan emosi dan mental, dan moga dimudahkan semua urusan kita menghadapi tohmahan org luar..

Kredit : iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published.