Dpt suami pemalas, bila aku kursus 2 mnggu, anak tnggal dgn suami, lpas balik trkjut tgk dia tiba2 berubah.

**gambar sekadar hiasan

Saya berkahwin di usia 33 tahun. Kahwin lambat sebab memang memilih calon suami. Nama pun nak kahwin, mestilah kena pilih. Tapi bukan lah nak pilih anak raja atau anak menteri fasola hidup harap goyang kaki aje.

Saya cuma mahu memilih lelaki yang tidak seperti abang saya. Itulah yang tersemat dalam kepala saya sepanjang saya mencari jodoh.

Tentang keluarga saya, biarlah saya rahsiakan detailnya. Cuma cukuplah saya katakan saya ada seorang abang yang baran dan malas. 24 jam melepak dan habiskan duit mak ayah.

Selain baran, dia juga kuat merokok sejak sekolah. Rumah saya memang bau rokok menyebabkan saya jadi benci dengan perokok sampai hari ni. Ayah saya tidak merokok tapi abang saya berkawan dengan budak-budak nakal. Jadi dia terikut.

Masa dia kahwin, saya dah habis sekolah. Saya masih ingat, saya tengok saja muka kakak ipar saya sambil berfikir, kenapa dia kawin dengan abang saya? Dah la baran, malas pulak tu.

Saya pendekkan cerita, disebabkan saya melihat kelakuan abg saya, dan hidup kakak ipar saya yang agak menyedihkan, saya jadi sangat berhati-hati bila memilih pasangan. Saya tak mahu yang merokok, saya tak mahu yang baran, saya tak mahu yang tak ada kerja tetap.

Sampai umur saya 33 tahun baru jumpa yang saya rasa sesuai untuk saya. Jadi bila saya baca cerita tentang gadis bersungut sedih, kena kutuk macam-macam sebab belum jumpa jodoh, saya faham perasaan itu.

Sebelum saya setuju untuk kahwin dengan suami, saya ceritakan pada dia tentang sikap abang saya dan saya tanya dia adakah dia juga seorang yang baran? Saya tahu dia tak merokok tapi saya nak pastikan adakah dia boleh handle rasa marah.

Dia kata dia tak suka marah-marah dan dia harap saya terima dia seadanya. Selalunya lelaki macam tu lah. Minta kita terima dia seadanya sedangkan perempuan ada 3 jilid buku senarai lelaki idaman. Kahkah!

Beberapa minggu sebelum saya nikah, suami dinaikkan pangkat. Masa ni saya tak tahu nak sedih atau gembira. Saya gembira sebab dia akan naik gaji, tapi saya sedih juga sebab dia akan dipindahkan ke negeri lain. Jauh pula tu.

Lepas kawin kami PJJ selama 2 tahun. Lama saya mencari kerja yang sesuai di negeri & daerah yang sama dengan suami.

Kami juga rancang untuk tidak ada anak sepanjang PJJ sebab faktor keluarga saya juga jauh dari negeri saya bekerja. Saya takut kalau apa-apa jadi pada saya semasa mengandung dan tak ada orang boleh bantu di rumah sewa.

Jadi saya faham juga perasaan isteri-isteri yang sedih bila sering ditanya bila nak ada anak?

Walaupun saya merancang, tapi tak kan saya nak beritahu seluruh keturunan yang saya tak ada anak lagi sebab sengaja merancang kan?. Jadi saya telan je lah soalan-soalan sinis sedara-mara tu.

Bila dah tinggal sekali, baru kami mula rancang untuk dapatkan anak dan pada umur saya 36 tahun, barulah saya dapat anak pertama. Dapat anak pertama memang seronok. Tapi dengannya juga saya diuji mental dan fizikal.

Suami saya memang ringan tulang. Dia memang tolong buat kerja-kerja rumah. Tapi kena disuruh. Kalau tak suruh tolong maka tak buatlah. Paling penting, dia memang tak baran. Tak pernah marah-marah saya. Tapi datang bab anak, dia jadi sambil lewa.

Masa saya pantang, mak saya yang banyak bantu. Suami macam buat tak tahu. Anak menangis malam, dia memang berdengkur sikit pun tak bergerak.

Kadang-kadang saya baru terlelap sekejap lepas pam susu. Tiba-tiba anak menangis nak susu. Kepala saya pening sangat dan saya kejut suami minta tolong bagi susu. Suami bangun mamai-mamai masuk tandas lama sampai anak dah menangis kuat.

Akhirnya saya juga bangun panaskan susu stok dan susukan anak. Tak pernah suami bangun malam tolong bagi susu anak.

Kadang-kadang bila saya betul-betul penat sampai tak terjaga anak menangis, suami akan bangun tapi hanya untuk kejutkan saya supaya buatkan susu anak dan dia sambung tidur.

Bila datang time saya sangat penat, saya jadi sangat beremosi. Masa susukan anak malam-malam saya boleh menangis teresak-esak ketika suami lena berdengkur.

Manalah tak penat, pagi-pagi saya yang hantar anak ke rumah pengasuh, petang saya ambil. Malam, saya juga yang bagi anak makan dan tidur. Suami sekadar pegang dan main dengan anak sekejap.

Bila saya bagitahu suami saya balik lewat sebab banyak kerja, dia pun akan balik lewat juga sebab dia pergi makan siap-siap dengan kawan-kawan. Jadi sayalah juga yang akan ambil anak dan kemudian bergegas siapkan dinner anak sebelum maghrib.

Saya pernah minta suami suapkan anak makan sekejap sementara saya nak mandi tapi dia kata dia dah lewat nak ke masjid. Saya rasa kecil hati sangat masa tu.

Dia nak kejar pahala berganda solat berjemaah di masjid sedangkan saya nak solat pun kadang-kadang terpaksa sambil dukung anak atau solat laju-laju di rumah sebab anak dah menangis kuat.

Mesti ada yang kata kenapa tak cakap saja pada suami? Entah lah. Mudah saja kita suruh cakap dan bincang tapi bila jadi pada diri sendiri, sangat susah sebenarnya nak buka mulut dan meluah. Mungkin ini kelemahan saya.

Saya asyik pujuk hati kononnya suami saya dah baik boleh tolong buat kerja rumah. Cuma bab anak ni saja dia kurang. Takkan saya nak salahkan suami hanya sebab yang satu ni?

Bertahanlah saya sampai umur anak saya 3 tahun.

Satu hari, pejabat saya umumkan akan buat kursus di luar daerah selama seminggu. Semua wajib hadir. Kemudian ada lagi 1 kursus bersambung tapi tidak wajib.

Masa tu saya ambil keputusan untuk ikut dua-dua kursus memandangkan anak saya dah besar. Lagipun saya banyak ketinggalan kursus kerana sibuk dengan anak sebelum ni.

Jadi saya tinggalkan anak saya pada suami selama 2 minggu. Suami memang asyik telefon semasa saya berkursus sebab dia banyak tak tahu nak urus anak. Saya yang buat semua benda selama ni kan. Tuala mandi anak yang bersih pun dia tak tahu dimana saya lipat & simpan.

Selesai kursus, bila sampai di rumah, saya disambut dengan muka masam mencuka suami.

Saya peluk anak kemudian saya dengar suami cakap, lain kali tak payah pergi kursus lama-lama. Susah dia nak handle anak dengan nak kerja lagi. Suami tak tengking pun. Ayat dia mendatar saja.

Tapi mungkin disebabkan saya terlalu penat, saya jadi sangat beremosi. Saya terus balas cakap suami dengan suara yang kuat sambil menangis. Saya rasa macam kena rasuk pun ada masa ni.

Mungkin sebab lama sangat pendam jadi bila meletup tu jadi tak ketahuan dah. Habis semua kesalahan dia saya ungkit especially bab tak tolong jaga anak.

Selepas sesi meluah sambil mengungkit tu kami jadi sangat dingin. Kami tak banyak bercakap. Saya pula asyik terbayang suami akan balik rumah suatu hari dan bawa surat cerai. Saya cakap pada diri sendiri saya kena kuat kalau benda tu betul-betul jadi. Haha!

Tapi pada masa perang dingin tu, ada ketika suami hantar mesej bagitahu dia dah ambil anak dari rumah pengasuh. Ada ketika anak menangis malam, dia dah boleh bangun dan tolong buatkan susu. Anak saya 3 tahun pun masih bangun malam minta susu.

Jadi, walaupun sedang dalam perang, saya nampak ada perubahan positif dari pihak suami. Saya tak ingat berapa lama perang dingin berlaku. Rasanya hampir sebulan.

Sehingga sehari sebelum bulan puasa, suami tegur saya di dapur dan dia minta maaf sebab abaikan saya.

Dia mengaku dia salah dan dia juga bagitahu dia terasa hati dengan saya sebab masa saya mengungkit tu saya ada cakap dia sama perangai macam abang saya. Allahu.. saya betul-betul tak ingat saya ada cakap macam tu. Maklumlah tengah kerasukan!

Dia bagitau dia takmau kehilangan saya. Padahal dia tak tahu saya yang asyik bayangkan dia bawa surat cerai balik rumah. Haha! Dia juga cakap akan cuba baiki diri. Saya pun minta maaf juga sebab mengungkit semua kesalahan dia.

Selepas tu kami berbaik semula. Kami jadi lebih kenal sikap masing-masing. Sama-sama ambil tahu benda-benda yang kami suka dan tak suka. Suami memang berubah sangat-sangat.

Dia bantu buat kerja rumah tak payah saya suruh. Hal anak dia dah boleh handle. Saya rasa sangat aman dan bahagia lepas kejadian perang dingin tu.

Anak kedua dan ketiga kami lahir selepas itu. Tak jauh jarak anak kedua dan ketiga sebab umur saya pun dah 40an. Tapi saya pun tak stress sangat jaga anak kecil 2 orang sebab masa anak kedua dan ketiga lahir, suami sangat banyak bantu.

Saya tak lagi rasa penat yang teramat kerana susukan anak malam-malam especially masa berpantang sebab suami dah belajar cara panaskan susu stok.

Kalau anak menangis, dia memang awal-awal dah bangun dan tanya saya nak bagi susu badan atau nak rehat. Kalau saya bagitahu nak rehat, dia akan panaskan susu stok dan susukan anak. Serius, saya rasa sangat lega dan bersyukur.

Tapi ini bukanlah cerita Cinderella atau Snow White.. and they live happily ever after tu.. ni cerita rumahtangga sebenar. Walaupun hidup kami semakin aman dan bahagia sekarang, tapi masih la ada masa bergaduh juga.

Cuma bergaduh kecil saja lah. Tak adalah sampai saya rasa macam kena rasuk macam dulu. Kahkah! Hingga kini, kami masih lagi cuba memahami sikap masing-masing.

Bagitulah serba sikit pengalaman hidup berkeluarga. Saya tak menyesal kahwin lambat dan memilih pasangan sebab akhirnya saya dapat juga seorang suami yang membahagiakan saya.

Cuma perjalanan nak membentuk keluarga bahagia tu ambil masa dan perang besar tu kadang-kadang membawa rahmat permulaan kepada satu titik perubahan yang lebih baik dan ia perlukan perubahan dari kedua-dua pihak suami dan isteri.

Saya bersyukur suami tidak melayan ego lelakinya. Dia berubah seperti apa yang saya harapkan. Jujur saya katakan saya lebih sayangi dia dan hormati dia sebagai suami selepas dia berubah.

Akhir kalam, yang mana belum bertemu jodoh, yang masih TTC, yang mendapat suami/isteri indah khabar dari rupa, semoga akhirnya ada sinar bahagia untuk kalian juga.

– Mawar (Bukan nama sebenar)

Antara komen ntizen :

Busrah Abd Jalil : Best perkongsian ini.

Tapi saja nak habaq. Saya sudah berkahwin 19 tahun lebih. Anak sulung sudah berusia 18.

Fasa-fasa bergaduh sebab tak kenal hati budi sebenar tu dah berlalu. Itu fasa 5 tahun pertama perkahwinan.

Fasa sekarang jarang bergaduh sebab dah faham sangat hati budi masing-masing. Tapi kalau dah lama sangat tak bergaduh rasa bosan pulak.

Maka terpaksalah cari apa-apa topik sebab nak bergaduh juga. Kadang-kadang saya naik angin sebab panggil makan 14 kali tak muncul-muncul lagi. Ha.. macam tulah.

Kadang-kadang pula puas membebel, eh! rupa-rupanya aku membebel dengan dinding. Dia dah lama tertidur sampai berdengkur. Macam itulah kehidupan. Lepas bergaduh biasanya macam ada chapter baru dalam kehidupan.

Apa-apa pun syukur atas ketentuan Allah.

Semoga bahagia milik kita semua selamanya. Take care dik.

Ana nursyahida : Entah ek. Saya rasa istilah yang lebih tepat digunakan dalam perkahwinan adalah bekerjasama/bertanggungjawab instead of membantu.

Sebab mengamalkan istilah membantu lah, pasangan ikut suka hati dia nak buat sesuatu keperluan atau tidak. Only my 2 cent

Sum er : iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *