Isteri bersedap dgn lelaki lain, tp bila dia nk bersalin aku sponsor hospital swasta. Nk ceraikan xsmpai hati, kesian kt anak.

Foto sekadar hiasan : Di sini aku menulis selembar tinta cerita, untuk pengajaran dan iktibar bagi mereka yang bakal menempuh dunia perkahwinan, dunia yang penuh onak dan duri, yang dijanjikan balasan oleh yang Maha Esa segenap syurga selamanya bagi mereka yang bersabar.

Panggil saja aku dengan nama Muadz (nama samaran). Segalanya bermula di sebuah pusat pengajian di utara semenanjung, di mana aku mengenali F, cinta hati pertama.

Berkat perkenalan, keluargaku mengatur majlis merisik dan pertunangan setahun selepas tamat pengajian, demi mengejar hubungan halal yang diredhai Tuhan.

Tahun 2012 merupakan tahun keramat bagiku, dimana tahun itu aku beroleh kerja sebagai seorang Jurutera. Rezeki halal aku himpun demi majlis perkahwinan di penghujung tahun yang sama.

Ya, aku berkahwin seawal usia 24 tahun, usia yang mana rata-rata pemuda sepertiku sedang sibuk membina karier. Namun aku percaya pada rezeki Allah, setiap hubungan yang dihalalkan adalah penambah rezeki di dunia dan juga akhirat.

Perjalanan kisah rumahtanggaku agak berombak. Sesekali badai datang menyerang, menggegar iman dan sabar seorang insan bergelar suami. Ujian hadir ketika tempoh pertunangan lagi, bak kata orang, tempoh bertunang merupakan satu tempoh yang amat mencabar.

Ketika itulah setiap insan yang memasang angan untuk membina keluarga akan cuba sedayanya untuk menambah ilmu di dada, ilmu dunia hatta akhirat.

Setiap kita akan mula membina tembok sabar, menyusun perkakas iman dan akhlak. Ketika tempoh itu jualah, terserlah betapa goyahnya ikatan, hinggakan F meminta diputuskan pertunangan.

Aku menjadi keliru dan bingung. Apakah salah ku hinggakan cita yang dibina bersama cuba digagalkan sebelah pihak. Penjelasan dipinta, alasan diberi.

Namun pada akal ku, alasan “saya bukan perempuan baik” tidaklah menjadi masalah, kerana perkahwinan itu sendiri adalah sebuah universiti membina insan.

Aku meminta penjelasan demi penjelasan, pujuk rayu aku hamparkan dan hatinya kembali bertaut, sehinggalah tibanya hari pernikahan, hari Jumaat yang berkah, hubungan telah dihalalkan.

Majlis berjalan lancar seperti yang dirancang. Segalanya meriah, sesama ahli keluarga memerah peluh dan keringat demi menghiburkan majlis dan tetamu yang hadir.

Syukur ku pada Allah tidak terkira, segalanya menjadi mudah. Hari pertama di kampung isteri, hari kedua di rumah keluarga sang suami, segalanya indah tidak terperi.

Usai majlis, aku dan F pulang ke rumah untuk berehat. Sedang F ke dapur, aku membelek telifon bimbit kepunyaannya, isteri suri hati hidup mati ku. Aku membuka inbox sms, dan aku terkedu.

Mesej-mesej berbaur cinta dan rindu ku baca satu persatu, sehinggakan jantungku berdegup laju, F memasuki bilik, dan belum sempat aku melontarkan soalan, dia terlebih dahulu merampas telifonnya dariku.

Aku menyoal dan menyoal, sehinggakan ada sms berbunyi “kita dah buat banyak dosa” membuatku sedikit menekan. F menangis dan menafi, alasan “hanya kawan” menjadi duri dalam hati ku. Tidak mahu saat bahagia terganggu, aku lantas memaafkan dia..

Tiga tahun pertama kami tinggal berasingan dek kerana faktor tempat kerja, aku di Selangor dan dia di Kedah. Setiap hujung minggu aku menaiki bas bertemu isteri, 2 hari yang bahagia, 5 hari kembali merindu.

Hari-hari bersama aku gunakan sebaiknya, membahagiakan dan dibahagiakan. Sehinggalah pada satu ketika sekitar 2014 di bulan Ramadan, aku seperti biasa pulang ke rumah sewanya pada hujung minggu.

Sekali lagi aku membuka telefon bimbitnya dan hatiku mula berdebar. Aplikasi whatsapp yang mulai popular pada ketika itu menjadi sasaran.

Dan sekali lagi, mesej-mesej berbaur rindu dan sayang daripada lelaki yang sama menghiasi skrin paparan, berserta gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Tubuhku menggeletar, jiwaku meronta, mindaku gelita. F merampas telifonnya dan memberi alasan “tiada apa-apa”.

Aku menjadi kelu tiada kata. F menangis memohon maaf. Aku lantas menerpa bingit, mempersoal F bertalu-talu. Air mataku gugur ke bumi saat aku bertanyakan apakah salah aku, apa kurangnya aku, dimana harga diri isteri yang aku sayangi.

Lantas aku mendukung anak sulung yang berusia 1 tahun, keluar dari rumah. Aku cuba menenangkan fikiran dengan mengingati Tuhan.

Aku pulang, dan F berjanji tidak akan ulangi dan aku maafkan dia buat kesekian kalinya..

Skrip yang sama berulang lagi pada tahun 2016 dan 2019. Setiap kali itu jualah F berjanji dan aku pula memaafkan. Entah mengapa, memaafkan kesalahan yang diulang-ulang menjadi lazim bagi diriku.

Allah hadiahi aku sifat memaafkan, hinggakan kadang kala aku memintaNya untuk segera mencabut nyawaku, kerana pedihnya hati menahan duri yang menikam dalam.

Setiap kesalahan F, aku akhiri dengan ucapan “abg maafkan syg”, lantas jua aku mengutip cebisan hati yang berkecai, aku himpun dan aku satukan semula.

Aku memujuk diri menunduk malu pada Tuhan.. Allah ya Rabb..aku telah gagal.. Aku panjatkan doa, aku gagahkan jiwa untuk menempuh badai demi badai, dan setiap kali itu jualah Allah memberikan aku kekuatan untuk terus berjalan ke hadapan.

Sehinggalah pada tanggal Feb 2022, hari-hari ku kembali gelap.. Kali ini F meluahkan segalanya. Rahsia 10 tahun perkahwinan terungkai jua. F, telah beberapa kali terlanjur bersama lelaki yang aku temui dalam telefon bimbitnya.. kesemuanya ketika di dalam tempoh pertunangan.

Dan perhubungan haram itulah yang disambung di alam maya ketika dia menjadi isteriku. Hanya setelah 10 tahun berkahwin, cerita hina ini sampai ke telinga.

Sekali lagi air mataku berjurai menyembah bumi tiada henti. Terasa seperti dikhianati, cinta dan sayang yang palsu, janji yang tidak ubah seperti janji seorang penipu.

Sungguh ini tamparan yang paling sakit pernah aku terima. Kini tahulah aku maksud “dosa” dan mengapa F cuba meminta diputuskan pertunangan dahulu.. dan Allah jualah tempat aku merintih memohon kasih.

Kalau hendak diungkit, terlalu banyak yang aku korbankan dan aku tidaklah menafikan pengorbanan dia yang terlalu banyak sebagai isteri dan ibu kepada anak-anakku. Nafkah tidak pernah aku gagalkan, barang kemas saban tahun bertambah sebagai tanda hadiah.

Percutian, sambutan ulangtahun perkahwinan dan hari jadi dia pun aku tidak pernah lupa.. pendek kata nafkah zahir dan batin sentiasa aku jaga sebaiknya. Kadangkala aku yang masak, selalu juga aku yang mengemas rumah.. aku sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuknya.

Kelahiran anak pertama, kedua dan ketiga di hospital swasta, beribu jugalah aku habiskan, semata-mata untuk keselesaan dia. Cuma anak keempat lahir di hospital kerajaan, namun aku hadiahkan gelang emas sebagai tanda sayang. Segenap perkara aku jaga atas nama cinta.

Bukan aku tidak pernah hubungi lelaki celaka itu, ugutan marah, dan laporan pada syarikat tempatnya kerja telah aku laksanakan, namun tetap juga tiada tindakan. Bodohnya aku tidak melaporkan pada pihak Polis kerana ingin menjaga aib isteri yang aku benar-benar sayangi.

Namun begitulah dunia, tiada keadilan saksama melainkan di negeri akhirat. Kini di sini lah aku, mencoret kenangan pahit untuk bacaan semua.

Aku cuma berdoa untuk dikuatkan iman dan hati demi anak-anak, demi kebahagiaan, kasih dan sayang, dan masa depan mereka. Aku nekad meneruskan hubungan ini meski berduri.

Kepada anak-anakku, tidak mungkin papa sanggup melihat kamu semua membesar tanpa mama / papa di sisi, juga tidaklah papa sanggup menjadi punca gagalnya masa depan anak-anak papa yang dikasihi.

Kepada teman-teman yang sudi, doakanlah aku agar ditetapkan iman sekuatnya di dalam jiwa ini.

Air mata menjadi saksi, bangkai hati menjadi bukti.. namun cahaya mata penawar sakti.

-Jurutera Cuba Jaya-

Antara komen netizen :

Netizen 1 : Sadis sungguh baca confession ni. Cerita benar ke ni confessor? Sungguh takleh nak brain. Nauzubillah min zaliq. Byk confession pasal ketelanjuran ni, takut sgt².
Kalau la ini cerita benar, isteri confessor kena bertaubat. Taubat bersungguh. Dosa yg kita buat tidak diwarisi oleh keturunan, cumanya jika tidak bertaubat nasuha, bimbang segala perbuatan tu diulang oleh anak2. Akhir zaman, zina seolah2 perkara biasa dan remeh.
Nauzubillah. Moga Allah pelihara anak2 dan keluarga kita semua dr berbuat mungkar dan maksiat.

Netizen 2 : Sedihnya baca kisah ni. 🥺. Sabar ade tempatnya. Bagi saya encik confessor bukan sabar tapi dayus dan lembik. Berpisah la secara baik & biar wife encik bersama dengan scandal dia. Sampai bila nak biarkan dia buat maksiat. Encik sendiri pun tanggung dosa skali sebab bersubahat. Kalau encik betul-betul sayangkan dia, biar dia bahagia dengan pilihan dia. Kasih sayang dan cinta tak boleh dipaksa.

Kalau dia betul-betul sayangkan encik dia akan pilih untuk setia. Mungkin dia tak betul-betul sayangkan encik dan terpaksa terima encik dulu. Saya percaya encik seorang yang baik dan bertanggungjawab.

Doa banyak-banyak supaya Allah buang rasa sayang pada wife encik kerana dia memudaratkan emosi encik. Bukan kah berdosa kalau kita mendera perasaan kita sendiri?

Doa jugak supaya encik diberikan jodoh lain yg boleh hargai, setia dan ikhlas sayangkan encik.

Ramai je wanita yang baik kat luar sana. Jangan biarkan diri encik diselubungi rasa kesian dan bersalah. Encik berhak untuk bahagia dengan orang yang tepat. InsyaAllah..

Netizen 3 : Dugaan yg berat, tp salah sendiri, masa bertunang dia dah bg tau bahawa dia bukan lah perempuan yg baik, tp cinta itu buta, tiada mata dan tiada hati, skrg diri sendiri yg jd mangsa kecurangan sang isteri tercinta, smpi bila saudara boleh memaafkan segala kecurangan yg dilakukan? Lebih dr 10 tahun dia terus curang, ingat lah, dlm islam saudara adalah suami yg dayus, berbuat lah sesuatu, jgn terlalu lembik utk buat keputusan. Kalau dia isteri yg jujur sudah lama dia putuskan hubungan dgn lelaki durjana tu dan tak mungkin mereka bertahan sehingg lebih dr 10 tahun manjalan kan hubungan yg haram, walau pun sudah menjadi ibu kpd 4 org cahya mata.Buatlah keputusan yg trbaik

Sumber : iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published.