Foto sekadar hiasan : Assalamualaikum. Dulu aku pelik kenapa isteri suka sangat page ni. Sebab aku rasa content sama je macam page lain. Ala2 krt ada, pengajaran ada, ilmu ada.
Tapi isteri aku asyik tekankan bahagian komen. Jadi, dah seminggu ni phone isteri aku rosak, hanya pakai phone samsung lama yang boleh whatsapp je.
Jadi aku saja log in fb isteri aku kat phone aku. Bila aku scroll jumpa page ni, memang aku tak baca cerita, aku baca bahagian komen je.
Allah, betul la. Memang bahagian komen yang menusuk. Mana cerita yang perlu kata semangat, penuh kata semangat. Mana yang minta dikecam, penuh kecaman. Haha, gurau.
Intro, aku pernah menganggur hampir setahun. Baru sebulan mula bekerja balik, alhamdulillah.
Sepanjang aku tanam anggur, aku tolong isteri aku buat kek dan biskut. Isteri aku pernah confess kat sini, (harap admin tak share link) dan alhamdulillah ramai yang membantu kami. Sangat membantu.
Ada yang masih membantu sampai sekarang. Terima kasih aku ucapkan.
Isteri aku dah selamat lahirkan anak kami yang Allah kurniakan walaupun ambil perancang, dan alhamdulillah juga, sepasang dah cahaya mata hasil pengorbanan isteri aku.
Elok dapat khabar pregnant, aku dibuang kerja. Isteri aku tak sedih. Tapi dia minta aku bantu dia dalam bisnes. Bisnes dia pun memang betul2 zero lagi masa tu.
Aku dengan tak tau apa, buat jela apa yang mampu. Aku dah cakap dengan isteri, aku akan usahakan apa yang jadi tanggungjawab aku.
Tapi isteri aku sumpah hati suci, dia pulak bersengkang mata nak cari belanja. Dengan bawak perut dengan alahan yang teruk, anak sulung pulak baru nak pandai tantrum,
Isteri aku giat cari peluang buat itu ini untuk tambah pendapatan selain nak tambah ilmu bakery dia. Slow2 dia join pjj yang buat promo murah2, sekarang ada la penambahbaikan.
Pendekkan cerita, bulan lepas kami dapat rumah sewa yang dah kami usahakan cari hampir setahun, (sekarang tinggal dengan mertua).
Jujurnya, mertua aku okay dengan aku, tapi tak dengan isteri aku. Yes, anak dia. Nak cerita nanti panjang sangat. Jadi aku skip part tu.
Isteri aku teruja sangat2 bila dapat rumah dan dia pulak yang berazam nak kumpul duit deposit 1k lebih.
Kadang2 geram jugak sebab dia buat aku macam tak wujud pulak haha asyik nak usaha sendiri. Nak makan burger RM3 pun nak korek tabung tak nak susahkan aku.
Jadi aku diam2 simpan azam buat overtime hari2 nak kumpul jugak deposit rumah tu.
Maha Besar Allah, selang dua hari ada hamba Allah bantu untuk deposit rumah tu sepenuhnya. Hamba Allah ni memang selalu sangat tolong aku dan isteri, kalini dia bukak tabung untuk kumpul deposit rumah.
Dia sendiri terkejut ada penderma yang sumbangkan 1k lebih. Dia wasap isteri aku, dia tanya apa yang isteri aku buat sampai ada orang sudi tolong isteri aku sampai macam ni sedangkan tak kenal langsung isteri aku.
Hamba Allah tu kenal isteri aku dari cerita isteri aku yang dulu jugak, terima kasih banyak aku ucapkan.
Aku baca wasap tu lewat malam, isteri dah tidur. Aku tenung wajah isteri yang lena. Betul, aku tak dapat nafikan, isteri aku memang murah rezeki. Pergi mana2 orang suka.
Hari kami akad nikah, tu la first time family besar aku jumpa dia. Tapi semua sukakan dia. Sampai ke hari ni, kalau dengar isteri nak balik kampung, semua excited. Kalau sebulan tak balik, semua bertanya sampai ada nak sponsor duit minyak.
Bila aku baca wasap hamba Allah tu, (isteri aku panggil kawan syurga), baru aku terperasan sangat benda2 ni. Apa isteri aku buat sampai orang sayang dia macam ni?
Aku belek2 lagi wasap dia. Chat dia dengan tuan rumah yang nak sewa. Ada banyak chat. Isteri aku gigih save banyak no tuan rumah yang dia jumpa di fb.
Kebanyakkannya mahal, kami tak mampu. Dan walau kami tak jadi berurusan, di hujung perbualan, isteri aku selitkan doa untuk tuan rumah tu.
Dia doakan tuan rumah tu dapat penyewa yang dapat jaga rumah baik2 dan dimurahkan rezeki. Banyak tuan rumah yang cuba kurangkan harga dengan dia, tapi yela bukan boleh kurang banyak pun. Masih di level kami tak mampu.
Memang aku kagum sekejap. Dia chat online seller walaupun setakat tanya harga, dia doa seller tu dimurahkan rezeki sebab dia belum mampu beli.
Adik beradik dan mak ayah dia suka gunakan dia, dia tak merungut. Bila dia penat sangat emosi, dia mengadu dengan kawan syurga dia yang bukak tabung deposit rumah kami.
Dia tak mengadu dengan aku. Dia takut aku benci family dia. Padahal aku tau je. Aku jenis suka perati.
Dekat setahun aku tanam anggur buat kerja kat rumah, menipu kalau aku tak perasan layanan double standard kt isteri aku.
Tapi dia tak simpan dendam. Malam ni marah, terasa hati, esok dah sejuk hati belanja anak sedara walaupun dengan RM2.
Isteri aku tak lokek bersedekah. Tiap kali balik kampung, ada je benda dia nak buat nak sedekah kat family atau sedara2 aku. Tak duduk diam langsung.
Dalam seminggu kalau tak bersedekah, dia boleh termenung lama. Dia korek2 la tabung dia tu pergi beli susu dengan sirap, buat aiskrim untuk sedekah hari2 kat budak2 main petang2 tu.
Ada orang bagi sedekah kat dia brang dapur, dia sedekah separuh kat abang ipar aku.
Tu sedekah, jangan cakap pulak kalau dia dapat banyak order. Lagi la sakan dia bersedekah. Dia kata tu tanda syukur dia. Pulak tu sedekah atas nama customer. Sebab sudi beli dengan dia.
Satu lagi yang aku perati, kalau orang minta tolong dia doa, dia bukan setakat doa dalam wasap. Dia bangun 3 pagi buat tahajud/ hajat, doakan orang tu.
Mana aku tau? Sebab kalau dia nak solat tu, dia akan kejutkan aku minta tolong tengokkan baby kalau nangis. Dia kata, “tolong tengok baby ye, ada orang minta tolong saya. Moga2 Allah tolong kita jugak”
Tak jadi aku nak layan ngantuk. Huhu. Sejak aku dapat kerja, dia jarang kejut aku. Tapi dia pastikan baby betul2 lena supaya dia tak solat terburu2.
Masa pembaca cerita dia tolong dia, bengkak2 mata tiap malam menangis syukur kat Allah. Sampai mak mertua tanya kami ada gaduh ke, huhu. Siap ada list nama orang yang tolong dia. Satu2 dia sebut dalam doa.
Hidup isteri aku nampak serba kekurangan pada orang luar, tapi kebesaran Allah pada dia, aku je tahu. Dan aku sumpah kagum. Dia tak pernah berkira, jarang merungut.
Niat aku kahwin awal dengan dia sebab nak keluarkan dia dari kena buli dengan keluarga dia, tapi tak sangka aku pun jatuh tersungkur tak mampu bagi dia bahagia.
Phone dia rosak pun aku tak mampu baiki. Dah la beli phone secondhand, rosak pulak. Sedangkan dia guna fb untuk meniaga dan cari ilmu.
Gaji aku sekali pun dia tak pernah sebut pasal nafkah dia. Sibuk lagi nak belikan aku baju sebab baju aku nampak lusuh.
Sedangkan dekat 3 tahun kahwin, hanya 3 helai baju aku pernah belikan untuk dia. Huhu hina sangat rasanya jadi suami macam tu.
Tak malu untuk aku katakan, aku sayang isteri aku. Aku hargai dia. Aku harap Allah pinjamkan dia lebih lama untuk aku. Sebab dia baik sangat, aku takut sangat Allah ambik dia cepat huhu.
Doakan isteri aku dipanjangkan umur ye semua. Dan doakan hati aku tetap pada isteri aku, dan aku murah rezeki untuk berbelanja lebih untuk isteri aku.
Jangan salah faham pulak, sekarang pun aku ada belanja, cuma tak dapat mewah. Isteri aku tak suka barang mahal, suka makan je.
Sedih aku bila tengok dia makin kurus lepas kawen dengan aku. Nak belikan dia baju, mesti bawah RM20. RM25 pun mahal kat dia, huhu.
Doakan jugak anak2 aku jadi anak soleh solehah dan urusan pindah rumah kitorang dimudahkan.
Sorry kalau tak paham cerita aku. Aku tak pandai menulis mcm isteri aku, huhu.
Isteri aku tak dapat baca pun cerita aku ni sebab dia takde fb dah. Sebab tu aku berani tulis. Takde la muka macam udang kena bakar, hahaha.
Aku nak kena claim ke aku ada tolong buat kerja rumah, jaga anak semua? Tak claim kang orang ingat aku biar isteri aku buat sorang2 plak.
Masa cerita isteri aku dulu pun ada kecam aku sebab isteri aku yang susah2 nak fikir psal duit.
Aku tau woii korang kecam aku huhu bukan aku goyang kaki lepas tanggungjawab, tapi isteri aku yang tak boleh tengok aku susah sorang2.
Masa tu dia stress sebab kena tipu member je. Aiyoyo. Tu pun dah seminggu pos semua order baru aku tahu dia tulis cerita tu kat sini, huhu.
Panjang sangat dah ni. 4 hari baru habis type cerita ni. Akhir kata, jangan ada yang share kat wasap isteri aku plak ye. Aku tak nak ada drama plak balik kerja kang huhu.
Tapi sekarang segala-galanya berubah..
Dan kali ni masih tentang isteri aku. Cuma kali ni aku nak mintak tolong dan pendapat. Harap ada yang boleh bantu. Isteri aku sekarang ada tapi macam takde. Aku cerita dulu psl isteri aku sikit, mana tau korang dapat puncanya.
Isteri aku sekarang dalam pantang belas2 hari. Lepas bersalin dua tiga hari, kami gerak balik rumah mak aku untuk dia berpantang.
Aku dah kata tak payah balik sebab jauh, tapi dia nak jugak sebab dah janji dengan mak aku. So balik jugak la. Lepas tu rutin la ulang alik klinik untuk check kuning anak.
Bila klinik tempat aku cuti, kena pegi klinik tumpang yang bahagian ibu dan anak di tingkat 1 tapi lif rosak. Nurse dah kata suami saja naik bawak anak sebab kena naik tangga, eh dia nak jugak naik. Tak boleh pisah dengan anak dia. Aku pimpin jela slow2.
Aku dan isteri aku merancang, tapi keadaan kesihatan isteri aku tak berapa baik jadi pilihan perancang terhad. Dan ya, baby kali ni rezeki dari Allah. Setahun lebih guna kaedah perancang tu elok saja, tapi bila Dia nak bagi, takde apa boleh halang.
Isteri aku memang terkejut sangat. Tak ready. Nak dijadikan ujian, kehamilan kali ni betul2 buat dia mental breakdown. Alahan paling teruk dari sebelum ni, dapat nurse tak berapa bekerjasama, contraction palsu sejak 5 bulan kandungan.
Kerap sangat dia menangis masa pregnant sebab dia kata dia tak mampu.
Oh ya, isteri aku ada MDD dan OCD. OCD dia, kata doktor lebih pada eager untuk cederakan anak2. Aku tak faham sangat tapi aku cuba ada dengan dia. Salah satu sebab dia menangis sebab dia risau tak dapat jadi ibu yang baik.
Aku memang serba salah tahap apa lagi dah tengok dia. Aku cuma boleh tolong uruskan rumah dengan anak2 jela. Ikut rasa hati nak belikan macam2 untuk dia happy, tapi aku tak mampu.
Dalam keadaan dia sarat dan tak larat jalan, masih lagi nak bantu kewangan aku. Semua hasil penat lelah dia hulur pada aku. Sesen pun dia tak pakai. Dia serah dekat aku dengan muka yang happy sangat, macam menang pertandingan.
Malu besar aku bila balik kerja, dia dengan perut sarat duk depan oven, rumah siap berkemas, anak wangi comel, juadah berbuka dah terhidang, baju siap bersidai. Tersengih2 nampak aku sambil gentel biskut. Pastu mintak maaf sebab tak larat berjalan ke pintu sambut aku.
Ya Allah nikmat apa lagi yang aku nak dustakan. Hilang penat aku bekerja tengah panas.
Sampaikan pagi sebelum beranak tu masih sempat siapkan biskut raya orang siap pakej untuk mak aku dan mak dia. Korang kalau nak makan biskut2 boleh cari isteri aku lepas habis pantang.
Biskut dia sedap oi huhu alah promote sikit saja. Eh, hasil penat lelah dia aku pulangkan dalam bentuk duit raya tau, tapi sampai skrg sampul tu dalam dompet aku. Dia kata “tumpang letak”. Bukak pun tak huhu sedih mat.
Ya, aku rindu sangat isteri aku. Semalam seharian isteri aku tak tegur aku. Bukan aku saja, semua orang. Senyum pun tak nampak. Tanya apa2, dia cuma jawab dengan angguk geleng saja. Eye contact takde. Mata dia melilau bila aku bercakap dengan dia.
Padahal dia memang bukan macam tu sebelum ni. Biasanya mulut dia ada saja nak bercakap bila nampak aku. Kalau takde apa nak cakap, dia akan panggil2 aku dan cakap ‘saja saja’ sambil sengih2. Senyum tak pernah lekang.
Tapi sekarang, yang aku nampak dia takde minat nak berbual, takde minat nak tengok orang, takde minat nak senyum, takde pegang phone, takde usik2 anak. Yang dia buat cuma baring dan pandang siling. Makan pun setakat nasi hujung senduk.
Tu pun aku rasa sekadar jaga hati mak aku saja dah masak untuk dia. Anak2 memang aku yang urus, baby mak aku urus. Dia cuma urus diri sendiri. Tu yang aku taktau kenapa dia jadi macam tu. Dia bosan ke dengan makanan dia? Dia bosan ke dekat rumah mak aku?
Dia sakit badan ke? Penat ke? Bila aku urut2 dia tolak. Dia taknak, tak selesa. Bila tanya, jawabnya takde apa. Malam tadi tidur, mengigau menangis teruk. Meleleh2 air mata. Apa yang salah ye? Aku betul2 nak tau. Nak betulkan.
Aku tak nak isteri aku sakit apalagi meroyan tu, nauzubillah. Tolonglah admin approve dan tolong bagi cadangan apa patut aku buat untuk dapat isteri aku balik. Tiba2 sangat dia jadi macam tu. Tak dapat punca takpela asalkan dapat dia balik huhu.
Dah tentu aku sebagai suami rasa tak guna sangat tengok isteri macam tu. Aku dah cuba yang terbaik, mungkin tak sebaik yang dia bagi pada aku. Tapi aku akan terus cuba. Semuanya aku akan cuba untuk isteri aku. Tolong aku admin dan readers. Aku berharap..
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Sumber : iiumc